Perlis yakin raih pengiktirafan Geopark Kebangsaan Ke-11 - Utusan Malaysia

Perlis yakin raih pengiktirafan Geopark Kebangsaan Ke-11

MEGAT Hashirat Hassan (enam dari kiri) menerima cenderahati pada Majlis Pembukaan Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan di Dewan Bankuet Kompleks Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis yakin mampu meraih pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan Ke-11 menerusi sesi penilaian yang bermula hari ini sehingga Khamis.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Geopark Perlis, Megat Hashirat Hassan berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada persiapan yang dilakukan oleh semua pihak terlibat yang bermula sejak 2019 lagi.

Katanya, setiap pihak terdiri daripada badan kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat di negeri ini telah memberi komitmen begitu baik sebagai persediaan bagi memperolehi pengiktirafan tersebut.

“Memang ramai di antara rakyat belum memahami mengenai Geopark Kebangsaan ini namun saya yakin mereka akan mendalami perkara ini selepas kita memulakan usaha untuk meraih pengiktirafan ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan di Dewan Bankuet Kompleks Kerajaan Negeri di sini hari ini.

 

PENGASAS Perlis Nature & Wildlife (PNW), Syamil Abd. Rahman (kanan) memberi penerangan kepada panel penilai sewaktu Majlis Pembukaan Sesi Penilaian Aspiring Perlis Geopark Ke Arah Penarafan Kebangsaan di Dewan Bankuet Kompleks Kerajaan Negeri, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

Buat masa ini, sebanyak 23 geotapak telah dikenal pasti di Perlis dan hasil laporan penilaian itu akan juga akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan yang dijangka berlangsung pada pertengahan bulan ini atau awal November depan.

Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, terdapat enam kawasan yang akan diberi fokus sepanjang proses penilaian ini terdiri daripada Bukit Lagi, Timah Tasoh, View Point Wang Kelian, Gua Kelam, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dan Muzium Kota Kayang.

“Pengiktirafan ini penting kerana ia akan memberi limpahan kepada rakyat negeri ini khususnya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024/2025,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Hashirat berkata, walaupun Perlis sebuah negeri kecil namun terdapat pelbagai khazanah hasil bumi bernilai masih terpelihara di negeri ini.

Tambahnya, penilaian bagi pengiktirafan itu juga akan berterusan dan perlu diperbaharui dalam tempoh empat tahun sekali oleh panel penilai.

“Ramai pihak sebenarnya tidak mengetahui banyak tempat tarikan pelancong di negeri ini sebenarnya sangat bernilai dan mempunyai khazanah sangat bernilai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya