IPOH : Perak menerima peruntukan tambahan RM9.09 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam membantu negeri itu menjayakan Tahun Melawat Perak 2024 (TMP).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, dana itu adalah untuk membiayai 35 projek termasuk pembangunan menaik taraf lokasi-lokasi pelancongan di Perak.
Katanya peruntukan itu juga dipecahkan kepada tiga fasa termasuk bagi tujuan mempromosi Perak sebagai destinasi pelancongan.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada MOTAC. Kita masih memohon, tapi setakat ini telah diluluskan peruntukan tambahan RM9.09 juta untuk 35 projek,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini.
TMP 2024 dilancarkan oleh kerajaan negeri dengan meletakkan sasaran menarik kemasukan lapan juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa dengan sasaran pendapatan RM10 bilion melalui resit pelancongan.
Kata Sze Yee, kerajaan negeri sebelum ini menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM7 juta bagi tujuan mempromosi Perak sebagai destinasi pelancongan di negeri-negeri lain serta perbelanjaan projek infrastruktur dan baik pulih lokasi pelancongan.
Beliau gembira apabila hasrat Perak itu mendapat turut sokongan pelbagai kementerian, agensi serta syarikat pengangkutan yang terlibat dalam membantu Tahun Melawat Perak 2024. –UTUSAN