MARAN: Lagu Lemak Manis yang menjadi polemik hak cipta dua negara Malaysia-Indonesia adalah karya asal Datuk Aripin Said yang turut menyanyikan lagu itu pada 1970.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aripin berkata, tajuk lagu itu ketika mula dicipta adalah Amboi-Amboi sebelum ditukar Lemak Manis.
Beliau berkata, lagu rakyat itu menampilkan nilai komersial yang digambarkan melalui lirik dan melodi indah tentang kesantunan wanita Melayu unggul.
“Kerjaya sebagai guru ketika mencipta lagu ini memudahkan saya menyanyikannya bersama pelajar dalam bilik darjah waktu itu sebagai tarikan di samping dipersembah dalam acara rasmi sekolah. Kini generasi baru tidak didedahkan siapa ‘pemilik sebenar’ lagu ini.
“Populariti lagu ini begitu menyerlah apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan lagu Lemak Manis pada 1972 dalam Rancangan Budaya yang diiringi penari cantik Kumpulan Tradika berlenggang sambil memegang nyiru,” katanya di sini semalam.
Selepas 51 tahun, Aripin yang kini berusia 75 tahun sekali lagi diberi peluang oleh RTM menyanyikan lagu Lemak Manis sebagai penyanyi asal dalam program Hiburan Minggu Ini dalam segmen Anjung Budi yang disiarkan di TV2, Ahad lalu.
Beliau yang juga Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan dalam bidang Lagu-lagu Rakyat tampil menjelaskan kekeliruan dan pertikaian tentang penyanyi asal yang menyusun membina serta mengukuhkan lirik dan melodi lagu berkenaan.
Dalam laman media sosial terdapat penyanyi dari negara jiran yang mendakwa lagu tersebut dari negara berkenaan yang mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia.
Aripin berkata, lagu Lemak Manis terkandung dalam album keduanya, Puteri Kayangan yang diterbitkan pada 2008 selepas album pertama, Untung-Untungan.
Katanya, beliau sering menyanyikan dan mempersembah lagu itu sambil menepuk rebana di pelbagai medium dalam dan luar negara lebih 50 tahun sehingga dikenali di beberapa negara ASEAN dan Eropah.
“Pada 1978, saya memimpin kumpulan budaya Kampung Paya Bungor Maran dan lagu Lemak Manis berkembang di Maran dan Teruntum, Kuantan sekitar 1979.
“Ketika di Temerloh pada 1982, saya mengajar lagu ini kepada kumpulan anak muda yang diketuai oleh Abdullah Karim dan lagu ini berkembang di daerah itu,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya lagu Lemak Manis dinyanyikan di luar negara, itu adalah bekas pelajarnya sewaktu belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Saya memberikan kuliah di UPM selama 20 tahun membabitkan pelajar-pelajar antarabangsa khususnya dari kepulauan Mauritius yang menghantar pelajar mereka dalam jumlah yang besar.
“Pelajar antarabangsa lain termasuk dari Iran, Iraq, Itali, Jerman, Britain, Bangladesh dan Indonesia yang banyak mengetahui lagu-lagu rakyat termasuk lagu joget dan inang dalam konteks lagu-lagu Melayu,” katanya. – UTUSAN










