Peniaga kopi teruskan amalan sedekah - Utusan Malaysia

Peniaga kopi teruskan amalan sedekah

NUR Nadirah Syuhadah Rahmat menyediakan kopi nisang untuk diberikan secara percuma kepada pelanggan di gerainya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kenaikan harga barang ketika ini tidak menghalang seorang peniaga untuk meneruskan amalan sedekah kepada pelanggannya kerana percaya kepada konsep keberkatan rezeki.

Pemilik Kopi Nisang Asli, Nur Nadirah Syuhadah Rahmat, 25, berkata, sejak berniaga pada pertengahan 2020, dia sudah melaksanakan pemberian kopi percuma bagi menghargai pe­langgan dan berkongsi rezeki.

Katanya, program pemberian kopi percuma dilaksanakan kelmarin dengan menyediakan 900 cawan kopi untuk diagihkan kepada pelanggan yang mula beratur seawal pukul 4 petang di gerai jualannya di Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Bagaimanapun katanya, orang kurang upaya (OKU) akan mendapat Kopi Nisang Asli secara percuma di tiga cawangan iaitu Dataran Batu Putih dan Wakaf Tapai di Marang serta di Jambatan Angkat setiap hari.

“Kebiasaannya saya akan buat pengumuman pemberian kopi percuma di media sosial agar lebih ramai berpeluang mendapatnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang mesra disapa Cikna berkata, Kopi Nisang Asli menggunakan serbuk kopi kampung yang dipanggang secara tradisional dan menggunakan bancuhan rahsia warisan turun-temurun keluarganya.

“Alhamdulillah, ramai pelang­gan berpuas hati dengan rasanya kerana mengingatkan mereka dengan kopi kampung yang pernah dinikmati waktu masih kecil dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya