KUALA TERENGGANU: Pengguna di daerah ini resah apabila bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) berkurangan di pasaran sejak awal bulan ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sini semalam mendapati, peniaga terpaksa mengehadkan dua atau tiga peket bagi setiap pembelian.
Penyelia sebuah pasar raya, Nik Arif Alfian Nik Fauzi berkata, langkah itu bagi membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan barang subsidi berkenaan ekoran bekalan yang terhad.
Dakwanya, pihaknya hanya menerima 30 kotak mengandungi 510 peket minyak masak kelmarin berbanding 50 sehingga 70 kotak pada awal bulan ini.
“Pengurangan bekalan hampir 50 peratus itu berlaku sejak awal September lalu memaksa kami mengehadkan dua peket sahaja bagi setiap pembeli.
“Ramai pengguna mengeluh sukar mencari bekalan minyak masak peket di pasaran namun kami juga menerima dalam kuantiti yang sedikit daripada pembekal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, tinjauan di beberapa kedai runcit pula mendapati, hampir kesemua peniaga terpaksa mencatu jualan minyak peket dan tidak dipamerkan di rak.
Seorang peniaga dikenali sebagai Hazimi, berkata, pembelian minyak peket terpaksa dicatu dalam kalangan pengguna apabila dijual di kaunter bayaran sahaja.
“Pembeli yang datang harus memberitahu mereka mahukan minyak masak peket, baru kami serahkan di kaunter atau ambil dari stor premis.
“Harga minyak masak botol agak mahal, jadi permintaan minyak peket meningkat malah jika dijual pada harga RM2.80 atau RM3 sepaket pun masih ramai yang nak beli.
“Bukan sahaja menjadi pilihan untuk kegunaan isi rumah, golongan peniaga makanan kecil-kecilan juga menggunakan minyak masak subsidi ini,” katanya. – UTUSAN










