MUAR: Demi tanggungjawab sebagai pengundi, seorang pengantin lelaki yang baharu selesai majlis akad nikah berkejar menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Muhammad Nur Aizat Fuad, 25, hadir ditemani ibunya, Fauziah Pader, 47, mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Chai di sini, hari ini.
Kata pengantin itu, dia bersama ibunya bergegas keluar ke pusat mengundi sebaik sahaja majlis akad nikah selesai dijalankan di Batu Empat, Jalan Bakri pukul 9.30 pagi tadi.
“Saya dan ibu bergegas keluar tadi kerana kami tetap mahu mengundi, semua sanak-saudara masih ada di majlis kerana selepas ini acara bersanding pula akan berlangsung pukul 1.30 tengah hari.
“Isteri saya, Nurul Nafisah Mohamed Azizi, 20, juga keluar mengundi di pusat mengundi di Batu Enam, kami terpaksa keluar berasingan kerana mahu cepat,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah Muhammad Nur Aizat yang bekerja sebagai juruteknik, dia dan isteri membuat perancangan awal untuk membolehkan kedua-duanya keluar mengundi tanpa mengganggu perjalanan majlis.
“Perasaan mengundi kali ini memang berbeza, selain memakai inai merah saya juga ada inai biru di jari. Balik (ke rumah) ini memang saya kena terus bersiap-siap untuk bersanding,” katanya. – UTUSAN