Pendapatan eksport koko negara RM4.364 billion -Fadillah

Pendapatan eksport koko negara RM4.364 billion -Fadillah

FADILLAH Yusof meluangkan masa berkunjung ke salah satu gerai pameran Hari Berandau Dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN: Dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, jumlah pendapatan eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah.  

“Dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, jumlah pendapatan eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion manakala pada tahun 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.8 billion kepada pendapatan eksport negara.

“Sumbangan ini meningkat 13.7 peratus berbanding pada tahun 2021. Justeru, sasaran pendapatan eksport pada tahun ini adalah RM8 bilion,” ujar Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Berandau Dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan hari ini. 

Sehubungan itu, Fadillah turut menjelaskan bahawa keluasan tanaman koko terkini adalah 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu. 

“Sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak.

“Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini adalah seramai 1,290 orang. 

“Jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik. 

“Keseluruhannya, Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan metrik,” tambah Fadillah.

Sementara itu Program Kluster Koko Sarawak yang dirasmikan antara inisiatif pembangunan tanaman koko di Samarahan, Asajaya, Sebuyau dan Padawan yang menyumbang biji koko untuk diproses di Kompleks SARA CC ini.

“Pada tahun 2022, sebanyak 44 tan biji koko dibeli oleh koperasi yang bernilai RM316,024.

“Sebahagian biji koko ini dijual semula ke kilang pengisar dan chocolatier di Semenanjung manakala sebahagian lagi diproses di Kompleks SARA CC untuk menghasilkan coklat jenama Magnificent Choc,” katanya. 

Operasi kompleks ini dijalankan oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Bhd. (3KQ). 

3KQ di bawah pimpinan LKM yang dibangunkan untuk meningkatkan pendapatan pemain industri koko Sarawak melalui agihan pendapatan koperasi kepada semua ahli koperasi.

Sehingga kini, koperasi tersebut mempunyai seramai 226 ahli yang berdaftar. 

Selain itu, 3KQ turut melaksanakan beberapa aktiviti lain seperti jual beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan. 

“Antara lain produk aktiviti koperasi terbaharu iaitu komoditi-pelancongan atau agropelancongan dan education tour.

“Aktiviti ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Sarawak Tourism Board (STB), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi-agensi pelancongan di Sarawak selain daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

“Oleh itu, pengunjung bukan sahaja dapat merehatkan minda, malah, dapat mempelajari mengenai rantaian koko bermula daripada tanaman sehingga ke produk siap coklat. 

“Justeru, melalui aktiviti ini akan meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelancong- pelancong untuk mengunjungi ladang koko di Sarawak,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN