Pekerja maut; Majikan didenda RM60,000 gagal sediakan sistem kerja selamat - Utusan Malaysia

Pekerja maut; Majikan didenda RM60,000 gagal sediakan sistem kerja selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Dua majikan masing-masing didenda sebanyak RM30,000 kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi pekerja mereka.

Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, hukuman denda itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Noor Aini Yusof selepas wakil bagi kedua-dua syarikat iaitu dalam bidang kontraktor dan pembuatan itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka, kelmarin.

Katanya, berdasarkan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 itu, kedua-dua syarikat didapati gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya.

“Dalam hal ini, syarikat-syarikat itu telah gagal untuk menyediakan satu kaedah kerja yang selamat bagi aktiviti kerja mengangkat ‘billet’ menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada seorang pekerja mereka pada 19 Disember 2020.

“Sabit kesalahan di bawah akta tersebut, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya di sini, hari ini.

Ujar JKKP Pulau Pinang, mangsa yang meninggal dunia itu merupakan pekerja syarikat kontraktor yang dilantik oleh syarikat pembuatan terbabit untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

Katanya, kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Mohd. Syazwan Ismail manakala siasatan pula dijalankan oleh pegawai penyiasat, Mohd. Al Fadil Mohd. Salleh.

Ketika pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

“JKKP Pulau Pinang berharap agar kes ini dapat memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar pematuhan kepada undang-undang sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya