PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Akauntan Negara (Korporat), Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Nor Yati Ahmad dilantik sebagai Akauntan Negara Malaysia (ANM) baharu berkuat kuasa hari ini.
JANM dalam kenyataan memaklumkan, surat pelantikan itu disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed bagi menggantikan ANM sebelum ini yang tamat kontrak perkhidmatan pada 2 Ogos lalu.
Menurutnya, beliau berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 27 tahun apabila mula menyertai sektor awam pada tahun 1995 sebagai Akauntan gred W3 di JANM cawangan Kuala Lumpur.
Anak kelahiran Batu Pahat Johor itu katanya, berkelulusan Ijazah Sarjana Perakaunan dan Kewangan Universiti Adelaide, Australia dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Perbendaharaan Negeri Selangor dari tahun 2002 hingga 2009.
“Perkhidmatan cemerlangnya diakui apabila menerima Bintang Khidmat Terpuji (B.K.T) (Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalid Yaakob) pada tahun 2004,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, sebelum dilantik sebagai Timbalan Akauntan Negara (Korporat), beliau berkhidmat di Pasukan Pelaksanaan Perakaunan Akruan (PPPA) JANM sejak tahun 2011 dan dilantik sebagai pengarahnya pada tahun 2018.
PPPA bertanggungjawab dalam transformasi daripada perakaunan asas tunai ubah suai kepada perakaunan asas akruan sektor awam selaras dengan yang digariskan dalam Model Ekonomi Baharu 2010 yang bertujuan antara lain membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan khasnya dalam Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor awam.
“Pada masa ini, selain menjadi ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Certified Public Accountant Australia (CPAust), beliau juga menjadi salah seorang ahli lembaga di dalam International Public Sector Accounting Standards Board (IPSASB) iaitu sebuah pertubuhan antarabangsa yang membangunkan piawaian perakaunan sektor awam antarabangsa yang ditubuhkan di bawah International Federation of Accountants (IFAC).
“Manakala di peringkat kebangsaan pula, beliau merupakan ahli Jawatankuasa Penasihat Piawaian Perakaunan Kerajaan yang mengeluarkan Piawaian Perakaunan Sektor Awam Malaysia (MPSAS) yang sedang dan akan digunakan sektor awam dalam penyediaan penyata kewangan tahunan masing-masing,” katanya.
Selain daripada itu, JANM berkata, beliau juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan dan Penggubalan Piawaian Perakaunan Islam untuk Waqaf, Zakat dan Baitulmal.
Beliau juga pernah menjadi wakil kepada Akauntan Negara Malaysia di dalam Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia (MASB). – UTUSAN