FLORIDA: Sekumpulan ahli politik Demokrat mengecam keadaan tidak berperikemanusiaan di sebuah pusat tahanan imigresen baharu di Everglades, Florida, yang digelar ‘Alligator Alcatraz’ selepas satu lawatan yang diatur oleh pihak negeri pada Sabtu.
Seorang wakil Republikan pula menafikan dakwaan tersebut dengan menyifatkan pusat itu sebagai selesa dan selamat.
Lawatan ini diadakan susulan insiden di mana beberapa ahli Demokrat dihalang daripada melawat pusat tahanan berkapasiti 3,000 katil yang dibina dengan pantas di atas landasan kapal terbang terpencil, dikelilingi oleh paya dan hutan bakau.
Kehadiran ramai wakil negeri dan Kongres memaksa mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melawat fasiliti tersebut.
“Kami melihat keadaan yang sangat menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan. Tempat ini wajar ditutup segera. Ini hanyalah gimik politik, dan mereka menyeksa manusia di sini,” kata wakil AS Debbie Wasserman Schultz, seorang Demokrat dari Florida.
Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk unit gaya sangkar yang menempatkan 32 orang lelaki berkongsi tiga alat gabungan tandas dan sinki, suhu mencecah 28 darjah Celsius walaupun dikatakan berhawa dingin, serta kehadiran banyak belalang dan serangga lain di seluruh kawasan.
Namun, kenyataan ini ditolak oleh Senator Negeri Blaise Ingoglia dari Parti Republikan yang menyifatkan pusat itu sebagai terurus, bersih dan berfungsi baik.
“Beberapa tahanan mungkin kelihatan gelisah semasa lawatan, tetapi saya tak pasti apa yang mereka jeritkan. Retorik daripada Demokrat tidak sepadan dengan realiti. Ini pusat tahanan, bukan hotel mewah Four Seasons,” katanya melalui panggilan telefon.
Wartawan tidak dibenarkan menyertai lawatan tersebut dan ahli politik juga dilarang membawa telefon bimbit atau kamera ke dalam kawasan pusat










