PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan diarah menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas yang turut akan dianggotai Unit Integriti kementerian itu bagi menyiasat dakwaan yang terkandung dalam dokumen JPJandora Papers.
Menterinya, Anthony Loke berkata, beliau mengambil maklum dakwaan kemungkinan berlaku kekurangan tadbir urus berkaitan pendaftaran nombor plat klasik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan perkara tersebut sudah diketengahkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet semalam.
“Selain menyiasat dakwaan, ia juga diamanah untuk mengesyorkan penambahbaikan bagi tujuan memperkasa ketelusan proses pendaftaran nombor plat klasik,” katanya melalui kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan, saluran Telegram Edisi Siasat mendakwa wujud skandal nombor plat klasik dihidupkan semula dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit.
Malah, kegiatan itu turut didakwa didalangi pegawai JPJ sendiri.
Melalui dokumen dikenali ‘JPJandora Papers’ itu antara lain menyenaraikan nombor plat kenderaan klasik yang didakwa dipunggah keluar, didaftarkan hak milik serta dijual kepada individu atau syarikat dengan harga yang lumayan.
Jumlah nombor yang tersenarai itu diperincikan berdasarkan tahun iaitu sejak 2007.
Sementara itu, Anthony turut mengarahkan JPJ memperbaiki sistem JPJeBid yang berdepan kekangan kapasiti pada waktu puncak. – UTUSAN










