PUTRAJAYA: Polis mengesahkan dua mangsa yang cedera parah dalam nahas 14 kenderaan di Jalan Persiaran Utara, di sini pagi semalam dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketika ini, dua mangsa berkenaan masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia yang terbabit nahas sama kini sedang direhatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
“Kami difahamkan, mangsa dikenali sebagai Karli Rastio, 69, mengalami lebam di bahagian paru-paru dan kecederaan organ dalaman. Mangsa dalam keadaan stabil, namun, direhatkan kerana faktor umur.
“Saya juga difahamkan, pemandu sebuah lori turut dipantau oleh pihak Hospital Serdang kerana mengalami kecederaan di bahagian leher,” katanya.
Sementara itu, A. Asmadi berkata, setakat ini, lapan saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Menurutnya, siasatan kes akan mengambil kira pelbagai sudut termasuk dari segi teknikal bagi melengkapkan kertas siasatan.
Terdahulu, A Asmadi berkesempatan hadir ke Jabatan Forensik, Hospital Putrajaya, di sini pagi ini bagi menyantuni keluarga dan waris dua mangsa yang maut dalam nahas itu.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya apabila ahli keluarga dan waris serta kenalan berkumpul dan menanti proses bedah siasat kedua-dua mangsa.
Ketika ini pihak keluarga sedang menunggu proses bedah siasat yang baru bermula kira-kira pukul 9 pagi tadi sebelum dibenarkan menuntut jenazah untuk proses pengebumian.
Nahas pagi semalam mengorbankan kakitangan Pos Malaysia, Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan penjawat awam di Mahkamah Ampang, Yuswar Mohd Uyus, 39 tahun.
Difahamkan, jenazah Faris Haziq akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang, Semenyih manakala, jenazah Yuswar pula akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda, Batu Caves. -UTUSAN










