MyCare, Econsave teruskan bantuan mangsa gempa Lombok - Utusan Malaysia

MyCare, Econsave teruskan bantuan mangsa gempa Lombok

ROZI Abdul Ghani menyampaikan gimik penyerahan al-Quran kepada seorang imam sambil diperhatikan Mas Imran Adam (tiga dari kanan) di sekitar Lombok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOMBOK: Walaupun sudah beberapa tahun gempa bumi kuat menggegarkan Lombok, namun nasib mangsa bencana alam itu terus mendapat perhatian banyak pihak, termasuk dari Malaysia.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu ialah Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) yang bekerjasama dengan pasar raya Econsave.

MyCare dan Econsave sekali lagi berganding bahu meneruskan misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi yang menggegar Lombok pada 2018 untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada mereka.

Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, pada misi pasca gempa kali ini pihaknya dengan kerjasama Econsave menyerahkan sumbangan barangan keperluan bagi meringankan beban mangsa serta memberikan 5,000 naskhah al-Quran kepada masjid-masjid.

“Kita meneruskan kerjasama strategik MyCare dan Econsave dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan serantau dengan menyerahkan 5,000 naskhah al-Quran kepada 50 taman pendidikan al-Quran atau pusat tahfiz.

“Selain itu kita turut memberi sumbangan bungkusan makanan kepada 100 warga emas miskin dan 150 anak yatim miskin di sekitar Lombok,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut yang diadakan sempena Majlis Peringatan Maulid Nabi di Masjid Besar Jam’yiyatul Qudsiyyah, Kecamatan Pringgasela, Lombok Timur, di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG), Zulkarnain Isahak. Misi tersebut disertai 17 orang termasuk wakil media daripada beberapa agensi termasuk Utusan Malaysia.

Misi bantuan tersebut merupakan yang keempat selepas bantuan disampaikan pada 2018 dan dua kali semasa 2019.

Rozi yang juga Ketua Misi berkata, dalam misi tersebut, pihaknya turut mengadakan aktiviti membantu psikologi anak-anak yatim oleh kaunselor daripada Kementerian Pendidikan.

“Sasaran kita adalah menyantuni 150 anak yatim dengan pelbagai aktiviti dan hadiah sebagai sokongan emosi kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, menerusi bantuan diberikan pihak MyCare dan Econsave sebelum ini adalah dengan melancarkan kempen-kempen kutipan dana oleh semua cawangan Econsave di seluruh negara.

“Terdapat beberapa projek yang telah dibina dilancarkan dan hasilnya berjaya membantu mengembalikan kehidupan mangsa dan membina semula Lombok selepas bencana.

“Antara projek yang dimaksudkan ialah bantuan bungkusan makanan, projek air bersih, pembinaan rumah senyum atau rumah sementara, bantuan pendidikan, membina semula masjid-masjid dan membantu rumah anak-anak kurang upaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN