MUAR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar mana-mana pihak tidak menuduh kerajaan negeri sebagai gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat berbilang kaum selama ini.
Titahnya, baginda sentiasa memantau pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan setiap dasar, projek dan arahan dilaksana dan bukan sekadar diumumkan.
“Jangan datang sini cakap benda bukan-bukan seolah-olah rakyat tidak dilayan dengan baik ataupun kerajaan negeri yang mentadbir tidak membuat kerja. Saya monitor kerajaan saya. Saya pastikan kerajaan ini buat kerja.
“Pemantauan dibuat secara serius, termasuklah mendapatkan penjelasan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri sekiranya terdapat sesuatu isu yang berbangkit,” titah baginda dalam satu sesi yang diadakan bersama rakyat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di sini hari ini.
Baginda bertitah, mana-mana pihak yang tidak mempercayai perkara itu boleh bertanyakan secara peribadi terhadap Onn Hafiz Ghazi dan kepimpinan tertinggi negeri Johor yang lain.
“Kalau tidak buat kerja, awak boleh tanya Menteri Besar, boleh tanya Setiausaha Kerajaan Negeri. Sampai kadang-kadang pukul tiga pagi pun saya telefon dan tanya, kenapa benda ini belum siap.
“Johor tidak memerlukan politik yang hanya dipenuhi janji, teori dan lakonan, sebaliknya kepimpinan yang mampu melaksanakan keputusan serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.
“Saya tidak suka janji ataupun cakap dongeng. Saya suka melaksanakan. Apabila ada visi, mesti kita laksanakan. Visi tanpa pelaksanaan hanyalah satu halusinasi,” titah baginda.
Baginda turut menolak dakwaan mengatakan kerajaan negeri gagal menjaga kebajikan rakyat sebaliknya kelewatan sesuatu pembangunan turut berpunca daripada proses kelulusan dan bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
“Rakyat perlu menilai sesebuah kerajaan berdasarkan fakta, prestasi, kemampuan turun padang dan hasil yang berjaya dilaksanakan. Untuk cari isu, cari salah dan menjadi pembangkang memang senang.
“Tetapi apabila sudah dapat kerusi untuk mentadbir, tidak semua orang boleh mentadbir,” titah baginda.-UTUSAN










