KUALA LUMPUR: Ancaman Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang mahu menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan jika tuntutan penjelasan mereka berkenaan kes mahkamah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak dipenuhi, tidak menjejaskan struktur pentadbiran kerajaan.
Penganalisis-penganalisis politik berpandangan, dengan hanya satu kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki Muda tidak memberi impak jauh sekali membuatkan kerajaan tumbang.
Selain itu, kata mereka, gabungan politik gergasi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya tunduk dan melayan tuntutan itu meskipun diakui Muda begitu lantang dalam memperjuang akauntabiliti serta ketelusan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Sivamurugan Pandian berkata, kapasiti Muda dalam menuntut penjelasan kes mahkamah Ahmad Zahid tidak sesuai dengan parti itu memandangkan dua pemimpinnya juga berhadapan pendakwaan di mahkamah.
“Jika Muda tarik sokongan, ia tidak akan beri kesan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Muda seharusnya tidak melibatkan parti politik dan mendapatkan penjelasan daripada pihak berwajib iaitu Peguam Negara.
“Kalau pun mereka nekad tarik sokongan, tidak perlu layan tuntutan mereka, kerana Muda sendiri berhadapan pendakwaan. Katakan jika Syed Saddiq sendiri dilepaskan tanpa dibebaskan, apakah kes beliau perlu dibawa dan dibahas di Parlimen juga?
“Suara yang cuba ditampilkan Muda seolah-olah percaya kepada ketelusan, demokrasi dan kebebasan dan Muda mahu nampak kelantangan mereka dalam soal ini. Tetapi, ia haruslah rasional dan praktikal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Senada, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil yakin tiada sebarang campur tangan antara pihak eksekutif dengan badan kehakiman dalam pelepasan Ahmad Zahid.
Oleh itu, katanya, jika benar apa yang dianggap sesetengah pihak bahawa ada campur tangan eksekutif, Syed Saddiq wajar memikirkan situasinya sendiri dalam kes pendakwaannya di mahkamah.
“Beliau sendiri pun terpalit isu mahkamah, jadi, beliau pun boleh rasakan ada atau tidak rundingan antara kerajaan dengan badan kehakiman dalam kesnya.
“Lagi pula, dengan hanya satu kerusi Parlimen dengan desakan ini, barangkali Muda mahu tunjukkan bahawa perjuangan dan tuntutan mereka itu tidak boleh dirunding dari segi kebersihan dan ketelusan,” katanya.
Syed Saddiq merupakan Presiden Muda kini di peringkat membela diri terhadap pertuduhan pindaan bersubahat melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta milik sebuah parti politik, manakala Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd. Hadi sedang didakwa di mahkamah atas pertuduhan penganjuran ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)?’ pada 14 Ogos 2022.
Dalam sidang media kelmarin, Muda mengancam keluar daripada Kerajaan Perpaduan jika tiada penjelasan terperinci daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid.
Dengan itu, Syed Saddiq berkata, partinya akan menggerakkan kempen protes di jalanan dan di media sosial jika beberapa tuntutannya tidak ditunaikan.
Muda dalam kenyataan pada hari sama menuntut tiga perkara iaitu menggesa AGC menjelaskan di Parlimen mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid apabila mahkamah memutuskan terdapat prima facie; mengasingkan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dengan segera dan mengadakan kempen #DakwaZahid bagi menggesa Pendakwa Raya mendakwa beliau semula.
Selepas 77 hari dibicara, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Presiden UMNO itu.
Hakim Collin berkata, pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pasukan pembelaan supaya Ahmad Zahid dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya. – UTUSAN











