MPKS ambil tindakan pihak buang sampah haram - Utusan Malaysia

MPKS ambil tindakan pihak buang sampah haram

Sampah
HARRISON Hassan bersama penduduk meninjau tempat pembuangan sampah haram di Jalan Kepong - Kuala Selangor dekat Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap individu atau syarikat kontraktor yang membuang sampah berdekatan Jalan Kepong-Kuala Selangor, di sini.

Setiausahanya, Mohamad Yusli Askandar berkata, tindakan penguatkuasaan diambil merujuk kepada kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“MPKS boleh mengambil tindakan kompaun kepada pihak didapati melakukan kesalahan berkenaan. Tindakan rampasan tanah juga boleh dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor.

“Tapak pelupusan sampah itu beroperasi tanpa kebenaran yang sah dan menyalahi undang-undang. Penduduk kawasan itu mula memiliki tanah sekitar 2008 melalui proses pelupusan tanah kerajaan secara pemberian hak milik.

“Lokasi aduan asalnya sebuah penempatan tanpa kebenaran dalam kawasan lembah di tebing Sungai Buloh dan penduduk menjalankan aktiviti pertanian lebih 30 tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Utusan Malaysia pada 4 September lalu melaporkan lebih 13,000 penduduk di sekitar Puncak Alam di sini, berdepan pencemaran bau busuk dan asap ekoran kewujudan timbunan sampah berdekatan jalan itu hampir setahun lalu.

Masalah itu menyebabkan terdapat beberapa rumah turut dihurung lalat dan membawa penyakit selain berisiko dilanda banjir.

Ia berpunca apabila pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

Tambahnya, tapak pelupusan sampah yang dibenarkan di daerah ini hanya terletak di Jeram yang menggunakan kedah pelupusan sampah secara sanitari dan terurus.

“Aktiviti membuang sampah secara haram sama sekali tidak dibenarkan oleh MPKS. Pemilik tanah perlu bertanggungjawab menjaga hak milik tanah tersebut daripada diceroboh,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya memandang serius isu sampah haram dan telah mengeluarkan sebanyak 161 kompaun selain menyita 77 lori sejak 2017.

“Sehingga Ogos lalu, sebanyak 53 kompaun dikeluarkan dan 18 lori disita sekali gus tertinggi sejak enam tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya