KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak bertindak di luar kawalan dalam hal berkaitan Islam khususnya pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Menurut Perdana Menteri, orang bukan Melayu harus faham mesej yang disampaikan kerajaan dalam modul itu yang hanya terpakai kepada murid Islam.
Namun, jelas beliau, tiada paksaan sekiranya bukan Islam mahu mempelajarinya.
“Saya minta anak-anak Islam belajar 40 hadis, tetapi jangan sehingga memaksa bukan Islam. (Untuk sesetengah pihak), tanyalah dahulu, jangan marah dahulu.
“Jadi, saya harap mesej saya ini difahami,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini, semalam.
Pada 19 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah.
Ia juga antara lain memupuk semangat kasih sayang dan selain menerapkan kefahaman agama dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.
Walaupun dijelaskan pelaksanaan modul itu hanya kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja, ia menjadi polemik terutama dalam kalangan bukan Islam.
Terdahulu, Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan modul itu supaya ia boleh dibincang semula di peringkat Kabinet.
Bagaimanapun, MCA dilaporkan berpuas hati dengan rancangan kerajaan mengajarkan modul berkenaan selepas mendapat penjelasan.
Namun, parti itu menyalahkan media atas laporan menggunakan perkataan ‘rintis’ dan ‘diperluas’ yang didakwa membawa gambaran akan diperluas kepada institusi selain dari sekolah agama.
Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) antara badan yang bertindak luar kawalan apabila menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.
Anwar sebelum ini menjelaskan, Kerajaan Perpaduan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.
Sebaliknya, kata beliau, modul penghayatan hadis itu hanya untuk guru serta pelajar beragama Islam.
Tambah Perdana Menteri, inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis berkenaan adalah usaha memupuk kefahaman agama itu dalam kalangan umat Islam sendiri terutama golongan muda. – UTUSAN










