KUCHING: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) tidak mempunyai hak mutlak mengawal selia tambang kerana harga tiket penerbangan ditentukan oleh kuasa pasaran.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, suruhanjaya itu maklum mengenai isu tambang penerbangan yang tinggi ke Sabah dan Sarawak setiap kali perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Justeru, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan subsidi bagi mengehadkan tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sebanyak RM300 tidak termasuk yuran dan cukai bagi membolehkan orang ramai pulang bagi menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini.
Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan memperkenalkan inisiatif FLYsiswa dengan baucar RM300 untuk pembelian tiket penerbangan kepada pelajar yang mendaftar di institusi pengajian tinggi awam di seluruh Malaysia.
Baucar itu, katanya boleh ditebus untuk satu atau beberapa pembelian penerbangan point-to-point sehingga 31 Dis tahun ini dengan tempoh perjalanan sehingga akhir Mac tahun depan.
“Ini adalah antara inisiatif yang diambil kerajaan untuk mengurangkan tambang penerbangan dan membolehkan lebih orang ramai dan pelajar pulang ke rumah pada musim perayaan atau cuti,” katanya.
“Mavcom tidak boleh mengawal tambang penerbangan tetapi kami menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan, meningkatkan ketersambungan udara serta meningkatkan standard perlindungan pengguna penerbangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Makan Tengahari Mavcom dan Media Sarawak di sini hari ini.
Saripuddin turut menjelaskan suruhanjaya itu hanya diberi kuasa untuk mentadbir dan mengurus skim Kewajipan Perkhidmatan Awam (PSO) dalam industri penerbangan di Malaysia manakala Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pengangkutan kekal sebagai pembuat dasar utama.
Menyentuh berhubung Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) di Sarawak, beliau menjelaskan, di bawah perjanjian PSO yang dimeterai dengan kerajaan pada Januari 2019, MASwings mengendalikan 30 laluan RAS di Sarawak dari 2019 hingga 2024.
“Apabila perjanjian itu tamat pada 2024, kami akan menjalankan latihan rasionalisasi untuk menilai semula laluan itu.
“Kita sekarang juga sedang meninjau untuk menambah dua lagi lapangan terbang lepas landas dan pendaratan pendek baharu (STOLport), tetapi, ia belum dimuktamadkan lagi. Jadi, saya tidak boleh dedahkan lokasinya,” katanya.
Tambahnya, kos bagi operasi RAS pula ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk subsidi dan bayaran pajakan pesawat.
Turut hadir pada majlis makan tengah hari itu ialah Ketua Pegawai Operasi (COO) Mavcom, Raja Azmi Raja Nazuddin. -UTUSAN










