Masjid mesra alam gamit tumpuan - Utusan Malaysia

Masjid mesra alam gamit tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Barangkali hingga ke hari ini Masjid Jamek Abdullah Hukum, kekal masjid tunggal yang dibina di lokasi parkir bertingkat setinggi tujuh tingkat di pusat komersial dan perumahan KL Eco City.

Berkonsepkan pembangunan hijau, masjid berukuran 1,207.73 meter persegi itu direka dan dibangunkan oleh KL Eco City dengan menyediakan kemudahan pengaliran udara semula jadi serta dikelilingi rekaan landskap yang menghijau.

Selain dekorasi mesra alam, masjid dua tingkat berwarna putih ini turut pantas mencuri tumpuan apabila ia terletak di lokasi strategik dan berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam, iaitu stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Abdullah Hukum di Bangsar serta menghubungkan pusat beli belah dan bangunan pejabat di sekelilingnya.

Untuk ke masjid, pengguna mempunyai dua pilihan sama ada menaiki kenderaan dan meletakkan di bahagian parkir bertingkat sebelum menaiki lif atau berjalan kaki dari pusat beli belah KL Eco City yang menghubungkan terus dengan kawasan masjid.

Naqib masjid, merangkap Setiausaha masjid, Muhammad Ansori Paslan berkata, lokasi masjid di tengah-tengah kawasan pesat membangun disifatkan sebagai one stop centre untuk orang ramai singgah solat di situ, khususnya dalam kalangan penduduk setempat dan pekerja sekitar.

“Masjid ini dikelilingi kawasan pejabat. Jadi, pada waktu zuhur, asar dan solat Jumaat memang menjadi tumpuan dalam kalangan pekerja selain penduduk sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pembangunan KL Eco City bermula pada 2011 dan siap dibina pada penghujung 2016. Ia dibuka secara rasmi kepada orang awam ketika solat Jumaat pertama didirikan pada 5 Mei 2017.

Keluasan binaan membolehkannya memuatkan sehingga 1,000 jemaah, manakala ruang solat di bahagian luar boleh memuatkan sekitar 300 hingga 500 orang pada satu-satu masa.

Dikenali sebagai Masjid Putih dalam kalangan penduduk setempat, masjid ini ditunjangi oleh empat imam dan bilal.

Dalam usaha menarik orang ramai ke masjid, pihaknya turut menganjurkan kuliah zuhur secara rutin pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bagi meraikan pekerja pejabat di sekitar kawasan ini.

“Selain majlis ilmu, semasa sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti, masjid bercadang mengadakan konvoi bermotosikal ke Hulu Langat,” kata Muhammad Ansori.

RUMAH WARISAN

Sekiranya ada yang tertanya-tanya tentang kewujudan rumah kayu di laman masjid berkenaan, ia adalah rumah warisan pengasas Kampung Abdullah Hukum, Allahyarham Abdullah Hukum atau nama sebenarnya Muhammad Rukun.

Allahyarham adalah ketua masyarakat Kuala Lumpur yang dilantik oleh Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad dengan diberi gelaran Tuk Dagang Dianjuk.

Berdasarkan catatan sejarah, Allahyarham adalah antara perintis terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur pada tahun 1880an dan turut membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang serta Sungai Putih yang dikenali sebagai Bangsar.

Menurut Muhammad Ansori, rumah warisan itu menjadi tumpuan ramai sebagai lokasi wajib bergambar kerana bukan mudah untuk mencari sebuah rumah kampung di tengah-tengah bandar.

Rumah tradisional Melayu bertangga batu, beranjung dan tidak berbilik itu sudahpun berusia 100 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN