KUALA LUMPUR : Penyanyi, Liza Hanim, 44, menggesa supaya mana-mana artis atau penyanyi yang berhasrat mengadakan konsert supaya membuka mata dan mengejar peluang memohon Dana Kandungan Digital (DKD) daripada MyCreative Ventures.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Liza Hanim berkata, dia percaya masih ramai dalam kalangan penggiat seni kreatif yang belum cakna mengenai peluang ini sekali gus mencetuskan pandangan skeptikal dan dangkal terhadap artis yang menerimanya.
“Saya percaya masih ramai kalangan artis yang tidak tahu atau tidak ada inisiatif nak ambil tahu mengenai kewujudan DKD ini. Seharusnya setiap artis kena buka mata dan rebut peluang yang ada.
“Jadi, mungkin dengan pemilihan saya atau pun Aina Abdul yang juga merancang untuk mengadakan konsert tidak lama lagi boleh membuka mata banyak pihak.
“Siapa tahu yang sekarang ini DKD ini sedang dibuka? Jadi, sesiapa sahaja yang memang hendak buat konsert, yang pernah buat persembahan dan mahu meraih manfaat ini, buatlah permohonan.
“Adakalanya kita ini yang selalu tak kejar, sebab itulah tidak tahu,” katanya.
Terdahulu, Liza Hanim menerima pertikaian ramai kerana didakwa sudah popular, namun, mudah memperoleh DKD dengan jumlah RM300,000 selepas diuar-uarkan bakal mengadakan sebuah konsert tidak lama lagi.
Sebelum ini, penyanyi, Aina Abdul juga menerima kritikan yang sama selepas memaklumkan menerima DKD untuk menampung kos penganjuran Konsert A Night With Aina Abdul 3.0 yang bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 18 November depan.
Dalam pada itu, jelas Liza Hanim, dia tidak tersinggung dengan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya berhubung perkara ini kerana tahu sudah bekerja keras untuk merealisasikan impian konsertnya.
“Apa yang orang tidak tahu, saya juga lama berusaha keras untuk merealisasikan hasrat nak buat konsert ini. Orang tidak tahu, saya sudah dua kali hantar permohonan dan baru kali ini dapat kelulusan untuk mendapatkan DKD ini.
“Itu pun, jumlah RM300,000 itu masih belum cukup untuk mengadakan sebuah konsert. Saya kena usaha sendiri lagi untuk mencari duit bagi menampung kos selebihnya untuk konsert kelak,”katanya.-UTUSAN










