Malaysia perlu bersedia kemungkinan penularan penyakit X

Malaysia perlu bersedia kemungkinan penularan penyakit X

Amalan memakai penutup mulut dan hidung boleh mengurangkan jangkitan penyakit X.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan penularan penyakit X yang berpotensi menjadi pandemik baharu selepas wabak Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal perubatan Dr. D. Dayanandan berkata, pada asasnya, penyakit itu adalah patogen (organisma membawa penyakit) hipotetikal yang belum muncul atau mungkin wujud dalam masa terdekat.

Menurut beliau, wabak baharu ini boleh disebabkan oleh mutasi dalam penyakit sedia ada seperti patogen zoonotik baharu yang muncul atau patogen yang tidak dikenal pasti.

“Pada masa sama ia berkemungkinan berlaku menerusi patogen yang wujud pada masa ini yang sedang bermutasi atau kemalangan makmal yang mengeluarkan patogen baharu kepada dunia atau tindakan bioterrorisme,” katanya di sini semalam.

Menurut WHO, kesan penyakit ini boleh berlaku dan berkemungkinan lebih teruk daripada Covid-19.

Baru-baru ini, pakar kesihatan global menyuarakan kebimbangan penduduk dengan ancaman pandemik besar yang seterusnya semakin menghampiri manusia.

Malah, kumpulan pakar kesihatan itu juga percaya pandemik berkenan berpotensi meragut sehingga 50 juta nyawa dan mungkin tercetus daripada jutaan virus yang belum dikesan.

Ia berisiko menjadi 20 kali lebih berbahaya berbanding koronavirus yang mengakibatkan 2.5 juta kematian.

Menurut WHO, antara virus yang berpotensi menyebabkan wabak seterusnya ini ialah demam berdarah Crimean-Congo; penyakit virus Ebola; penyakit virus Marburg; Demam Lassa atau Sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS).

Selain itu, virus daripada penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), penyakit nipah dan henipaviral, Demam Rift Valley dan Virus Zika.

Dr. Dayanandan berkata, pada masa ini, wabak baharu adalah hipotesis dan boleh wujud atau berpotensi bermutasi daripada penyakit sedia ada tanpa kita sedari.

“Bagaimanapun, pada masa ini Penyakit X adalah satu teori dan hanya spekulasi. Namun, kerajaan perlu bersedia menghadapi satu lagi pandemik yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

“Justeru, orang ramai perlu mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti kebersihan tangan, memastikan kebersihan persekitaran, makanan, memakai topeng muka dan mendapatkan vaksin untuk meningkatkan imuniti kumpulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN