Bukan sekali dua aduan berhubung pelanggan meminta juruwang di kaunter bayaran mengira bil sebab mahal daripada biasa.
Baru-baru ini insiden sama berlaku depan mata saya. Rupa-rupanya juruwang itu terkira dua kali. Jumlah yang sepatutnya RM100 untuk barang basahnya, menjadi RM200.
Sementara menunggu kesnya itu diselesaikan, dia dengan jelas mengeluh, ada barang dipaparkan di rak menunjukkan ada potongan harga, tetapi bila tiba dikaunter, harga asal tanpa potongan yang perlu dia bayar.
Mujur juga wanita berkenaan menyemak satu persatu barangan di beli. Kalau tidak, ‘hidup-hidup tertipu’.
Dalam situasi hari ini dengan harga barangan pengguna meningkat naik, kita tidak lagi ada pilihan selain merajinkan diri menyemak harga.
Sebab banyak juga promosi yang mengelirukan dan menjerat pengguna.
Lagi satu kita kena tengok juga juruwang di kaunter menguruskan barangan yang kita. Kadangkala ada segelintir yang tidak cakna dan belum arif dengan kerjanya.
Apa nak hairan sebab bahagian kaunter bayaran ini pun diambil dalam kalangan staff sementara atau pelatih yang belum begitu arif untuk tekan punat-punat pada papan pengira.
Dan kita pula, tak perlu terburu-buru. Biarlah orang menunggu kita lama asalkan kita tidak terpedaya.
Isu ini sebenarnya bukan isu baharu. Sebelum ini ia pernah terjadi dan diviralkan, lepas itu senyap begitu sahaja. Tetapi mungkin sebab waktu itu kita tidak begitu rasa terbeban maka ia berlalu begitu sahaja. Hari ini lain.
Selalulah beringat antara kita ahli keluarga.Banyak sangat yang sudah didedahkan di akhbar bagaimana tektik digunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Bukan sahaja menyorokkan bekalan dan menukar label, tetapi mengecilkan saiz produk atau mengurangkan kualiti pun sudah bermaharajalela.
Salah atau tidak perbuatan itu pun kita sebagai pengguna keliru sebab sehingga ke hari ini, tidak ada pun kilang dan pasaraya yang diminta tutup, dikompaun atau dikenakan sebarangan tindakan.
Adakah perbuatan sedemikan tidak dianggap kesalahan yang besar? Kalau salah dan dikenakan hukuman, patutnya hebahkanlah kepada media sebagai suatu pengajaran.
Kedai makan pun sama. Kira sekali harga sekian. Kalau disuruh kira sekali lagi mesti amaunnya akan berbeza. ‘Mahalnya, tolong kira sekali lagi’. Tanya bukan tanda kedekut, jangan malu-malu.
Pun begitu, dalam pada kita beringat untuk mengelakkan diri daripada tertipu, kita harus belajar mengawal diri daripada terjebak dengan tawaran harga menarik sempena dalam talian.
Tidak murah mana pun sebenarnya, tetapi bila selalu keluar depan mata di media sosial kita, secara psikologi kita pasti tertarik.
Paling mudah, jangan banyak sangat layan jualan online-online ni. Sekali kita klik, berpuluh-puluh lagi iklan sama lalu depan mata kita.
Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia










