BESUT: Lima lelaki berdepan detik cemas selepas tersesat ketika mendaki Gunung Tebu di sini sejak semalam sebelum ditemukan dalam keadaan selamat, 9.15 pagi tadi.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor, pihaknya menerima maklumat daripada ibu salah seorang mangsa pada 12.50 tengah hari, semalam.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati lima lelaki berusia 20 sehingga 30-an itu tiba di daerah ini dari Kuala Terengganu sejak kelmarin untuk mendaki Gunung Tebu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan 3.30 petang semalam melibatkan 55 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Selain itu operasi SAR turut dibantu pegawai dan anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta sembilan orang penduduk kampung dan malim gunung.
“Siasatan seterusnya menunjukkan lima mangsa berkenaan telah tersalah laluan semasa mendaki sebelum dijumpai jam 9.15 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan pemeriksaan dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 9.30 pagi.
Difahamkan, lima lelaki berkenaan ditemui selepas berjaya turun ke Pos Kawalan Bomba (PKB) di kaki gunung berkenaan ketika pasukan SAR hendak memulakan operasi, pagi tadi. – UTUSAN










