KUALA LUMPUR: Program automotif sedia ada di bawah penyedia latihan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) sudah beralih kepada program melibatkan kenderaan elektrik (EV).
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, perubahan kepada penggunaan EV sesuatu yang tidak boleh dielakkan kerana ia adalah trend di seluruh dunia.
“Latihan automotif sekarang (perlu) menjadi latihan kepada EV dan ini bukan saja menjadi suatu cabaran kepada KSM, kementerian lain juga melakukan perkara yang sama.
“Seseorang walaupun ada kemahiran tertentu, tidak boleh kata sudah cukup sebab teknologi dan industri sentiasa berubah. “Upskilling” (peningkatan kemahiran) tidak boleh dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Indeks Latihan Kebangsaan (NTI) anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, EV diramalkan mula digunakan di jalan raya negara ini dalam tempoh 10 tahun menjelang 2033 selepas harganya menjadi lebih murah dan mampu milik berbanding sekarang.
Malah, Malaysia dijangka menggunakan EV sepenuhnya dalam tempoh 30 tahun akan datang susulan pengunaannya lebih praktikal serta kos penyelenggaraan murah dan mesra alam.
Menurut Sivakumar berkata, perubahan itu juga menuntut negara untuk bersedia.
“(Sebab itu), kita perlu memastikan bahawa mereka (mekanik) yang sudah terlatih dalam industri ini melakukan ‘upskilling’ kepada yang baru dan yang terkini dalam industri tersebut.
“Salah satu objektif NTI ini juga adalah untuk memastikan pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.-UTUSAN