KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menumpaskan lapan sindiket penipuan dalam talian dalam serbuan pada 4 hingga 21 September lalu di sekitar ibu kota selepas 155 individu termasuk 43 warga asing ditahan.
Penahanan mereka dilakukan selepas 10 unit kediaman berbeza diserbu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kebanyakan sindiket ini dikesan beroperasi melakukan penipuan dalam talian sejak dua hingga tiga bulan lalu.
Kata beliau, dalam serbuan pertama pada 4 September lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menahan 59 individu membabitkan 29 lelaki dan 24 wanita tempatan serta dua lelaki dan empat wanita warga asing ditahan dalam serbuan ke atas dua unit kediaman di Bandar Seri Petaling dan Jalan Kepong.
“Semua yang ditahan ini didapati terbabit dalam penipuan membabitkan pelaburan Forex yang menyasarkan warga tempatan dan mangsa di India.
“Dalam serbuan sama, pihak polis turut merampas 37 unit komputer riba, 15 set komputer, 52 telefon bimbit, satu set modem dan satu set router,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Allaudeen berkata, sehari selepas itu, JSJK Kuala Lumpur menahan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berusia antara 23 hingga 36 tahun yang terlibat dalam aktiviti pinjaman wang tidak wujud menerusi dalam talian yang menyasarkan rakyat tempatan.
Menurutnya, dalam serbuan di Jalan Kepong ini, polis merampas tujuh unit telefon bimbit, 20 keping kad debit pelbagai bank, satu set komputer riba dan satu unit router.
“Seterusnya pada hari sama, polis turut menyerbu sebuah unit kediaman mewah di Jalan Dutamas dan menahan lima individu disyaki menjalankan aktiviti penipuan dalam talian membabitkan pelaburan saham yang menyasarkan warga China.
“Sehari kemudian iaitu pada 6 September, kita (polis) menyerbu satu lagi premis kediaman di Taman Gembira dan menahan sembilan lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 17 hingga 26 tahun yang terbabit dalam penipuan dalam talian kes tipu tawaran kerja yang menyasarkan warga Turkiye,” katanya.
Beliau berkata, empat lagi sindiket penipuan diserbu pada 8, 19 dan 21 September lalu di premis kediaman mewah di Bukit Bintang, Jalan P Ramlee dan Persiaran KLCC sehingga membawa kepada kegiatan penipuan pelaburan Forex dan wang Kripto tidak wujud, penipuan ‘Love Scam’ dan tipu tawaran kerja menyasarkan warga Australia dan Kanada.
“Polis KL tidak menolak kemungkinan sindiket ini menjadikan residensi mewah sekitar ibu negara sebagai pusat operasi penipuan dalam talian mereka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
“Ini kerana dengan menjadikan premis-premis kediaman mewah sukar untuk pihak polis mengesan mereka termasuk kawalan keselamatan ketat dan pihak polis memerlukan maklumat dari orang awam terutamanya orang sekeliling di sesebuah kawasan yang boleh memaklumkan polis sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.
Sehubungan itu polis memohon orang ramai untuk memaklumkan segera sebarang aktiviti penipuan dalam talian dengan menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999 atau tampil ke balai polis berdekatan. – UTUSAN