Lagu-lagu semakin merepek, nak rosakkan industri muzik ke? - Usop - Utusan Malaysia

Lagu-lagu semakin merepek, nak rosakkan industri muzik ke? – Usop

PETALING JAYA 14 SEPTEMBER 2023- sesi Fotografi bersama pelakon dan penyanyi, Usop pada Tayangan Media Filem Mat Kola di GSC Tropicana Gardens Petaling Jaya di sini, hari ini. UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Sekarang senang nak jadi artis, popular. Dulu saya kena pergi uji bakat. Pukul 6 pagi pergi, habis pukul 2 pagi esoknya. Penatnya Tuhan sahaja tahu.”

Itu luahan penyanyi, Usop apabila ditanya berhubung kebanjiran penyanyi yang lahir dari media sosial sehingga ada yang menyifatkan pendatang baharu ini ‘perosak’ industri lantaran lagu tidak berkualiti.

Kongsi Usop, dia kecewa apabila ada segelintir pempengaruh yang menyalahguna peluang dan hanya mengejar populariti semata berbanding mereka yang bersusah payah membuktikan bakat menerusi pelbagai pertandingan realiti.

“Bukan tergugat atau takut, tetapi saya rasa tidak adil. Kenapa industri seni tempatan macam ini? Kadang-kadang keluar lagu merepek. Apa ini? Nak rosakkan industri muzik Malaysia ke?

“Dulu hendak jadi penyanyi sangat susah. Kena keluarkan lagu yang sedap. Pastikan lirik dan melodi itu boleh tambat hati pendengar. Tetapi kenapa lagu-lagu sekarang, yang pelik popular? Tak faham.

“Cuma kita boleh banding kualiti seseorang anak seni itu. Kita ini artis kelahiran program relaiti boleh bandingkan dengan artis media sosial. Bukan nak kata semua, tapi ada segelintir mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Usop juga menolak sekiranya mendapat tawaran untuk berduet dengan mana-mana pempengaruh yang menilai seni hanya dari sudut keuntungan dan populariti semata-mata.

“Jujur cakap, saya tak mahu. Saya tak akan senang-senang bersetuju sebab saya ini jenis orang yang memilih lagu. Kena nilai kualiti sesebuah lagu itu.

“Kalau boleh biarlah ada satu platform yang menjadi pentas pertandingan bakat penyanyi dan artis dari media sosial ini bertarung bakat,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN