Kedah, Fujian jalin usaha sama ekonomi maritim

Kedah, Fujian jalin usaha sama ekonomi maritim

HAIM Hilman Abdullah (berdiri, tengah) bersama Dzowahir Ab. Ghani (empat kiri) dan Lin Ruiliang (enam kiri) menyaksikan pemeteraian MoU berkaitan Penyelidikan dan Pembangunan Bot Perikanan Elektrik serta Kerjasama Pasaran di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah dan Wilayah Fujian di China menjalin kerjasama strategik dalam bidang ekonomi maritim antara kedua-dua negara apabila memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) berkaitan industri perikanan.

MoU itu membabitkan Penyelidikan dan Pembangunan Bot Perikanan Elektrik serta Kerjasama Pasaran; Kerjasama Pengangkutan Rantaian Sejuk Produk Perikanan; Perancangan dan Rekaan Pangkalan Perikanan Luar Pesisir serta Perjanjian Kerjasama Kolej Maritim Perikanan Moden.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani berkata, kerjasama itu diharap akan menggalakkan pemindahan teknologi yang maju dalam akuakultur, selain membina keupayaan untuk petani dan nelayan Malaysia serta meningkatkan akses makanan laut tempatan ke pasaran serantau dan global.

Katanya, Kedah sedang mengaplikasikan teknologi akuakultur moden, industri berasaskan agro bernilai tinggi, amalan penanaman lestari, pertanian digital dan penglibatan belia dalam usaha mengubah pertanian menjadi industri yang moden, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.

“Jadi kerjasama yang dimeterai ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat-syarikat seperti Kedah Agro Holding, Kedah Agro Ausin Berhad dan Ausin18 Sdn. Bhd., malah juga kepada komuniti pertanian dan perikanan di Malaysia dan China. 

“Oleh itu, Kerajaan Kedah amat mengalu-alukan penglibatan penyedia teknologi, institusi dan pelabur dari China terutamanya dari Wilayah Fujian untuk bekerjasama dalam transformasi ini,” katanya di sini, semalam.

Fujian yang diketuai Timbalan Gabenornya, Lin Ruiliang menyaksikan pemeteraian MoU itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah, Dzowahir dan Timbalan Datuk Bandar Zhangzhou, Zheng Limin.

Antara institusi dan syarikat dari China yang terlibat adalah Fujian Haixia Research Institute of Architectural Design and Planning; Deijing Chenhe (Fujian) New Energy Technology; Fujian Fuhui Frozen Storage; Fujian Bacui Network Technology dan Xiamen Ocean Vocational Collage.

Dzowahir berkata, Kedah Agro Ausin kini sedang menerajui beberapa projek di Langkawi dan daerah pesisir pantai lain bagi membangunkan model akuakultur bersepadu yang merangkumi pusat penetasan dan pengeluaran benih.

“Selain itu, ia merangkumi pembangunan makanan akuakultur, penternakan ikan, kemudahan pemprosesan dan rangkaian pengedaran pasaran yang secara tidak langsung meningkatkan keselamatan makanan dan menyokong sumber pendapatan masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Ruiliang berkata, pihaknya memiliki pasaran dan teknologi terkini sementara Malaysia pula mempunyai sumber dan kedudukan geografi strategik yang saling melengkapi dan berpotensi membawa manfaat bersama.

Ujarnya, Fujian sedia bekerjasama dengan Malaysia khususnya Kedah untuk mengukuhkan rantaian industri dan bekalan dalam bidang perikanan laut, pelabuhan, bioperubatan marin dan tenaga baharu marin.

“Dalam pembangunan ekonomi laut tahun lalu, Keluaran Kasar Marin (GOV) Fujian mencecah RMB 1.35 trilion (RM812 bilion) iaitu meningkat 6.1 peratus berbanding 2023 dan merangkumi 21.7 peratus daripada KDNK wilayah itu. 

“Nilai ini mengekalkan Fujian sebagai wilayah ketiga tertinggi dalam negara dari segi GOV untuk 10 tahun berturut-turut. Pada 2024, jumlah keseluruhan hasil perikanan di Fujian mencapai 9.2 juta tan, dengan nilai ekonomi perikanan mencecah RMB 354.26 bilion (RM230 bilion) di mana pengeluaran akuakultur laut sahaja mencatat 6.1 juta tan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN