Perenang muda menyinar di Singapura

Perenang muda menyinar di Singapura

Tee Vivian Xin Ling meraih pingat perak dalam acara 100 meter kuak lentang di Kejohanan Akuatik SEA Age Group 2025, Singapura, semalam. - IHSAN MSN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem renang negara memulakan kempen di Kejohanan Akuatik SEA Age Group 2025 dengan langkah cemerlang apabila perenang negara, Loo Cheng Feng menghadiahkan pingat emas menerusi acara 50 meter gaya bebas di Singapura.

Loo, 17, menamatkan saingan dengan catatan masa 24.10 saat(s) sekali gus mengatasi dua pencabar utama dari Thailand, Nuntapiyawan Suphakphong (24.15s) dan Pinsanoa Thanapat (24.22s).

Turut mencuri tumpuan perenang wanita negara, Aw Yuet Ting yang meraih pingat perak dalam acara 50 meter kuak dada (33.46s) serta gangsa bagi 200 meter rampaian individu (2:24.90s).

Dalam acara 50 meter kuak dada, Yuet Ting terpaksa akur kepada kehebatan perenang Thailand, Suksee Pitpathu yang unggul dengan catatan 33.09 saat, manakala gangsa turut menjadi milik Thailand menerusi Kong Klarnissa Thipsada (33.99s).

Sementara itu, acara 200 meter rampaian individu menyaksikan perenang Singapura, Lim Yiyan Victoria mendominasi dengan masa 2:20.35s, diikuti rakan senegaranya, Yo Ee Xin Megan Janice (2:22.94s).

Bagi acara lain, Malaysia turut meraih satu lagi pingat perak menerusi Tee Vivian Xin Ling dalam acara 100 meter kuak lentang selepas mencatat masa 1:04.90s, di belakang perenang Indonesia, Aulia Chantika (1:03.98s).

Selain itu, Malaysia juga meraih gangsa dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu melalui HO Megan Wei Yan yang menamatkan perlumbaan dengan masa 1:02.99s.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Andy Low menyifatkan pencapaian atlet muda negara sebagai permulaan positif dan bukti program pembangunan sukan renang negara berada di landasan yang betul.

“Daripada keputusan ini kita nampak peningkatan atlet renang kita semakin baik terutamanya daripada atlet muda yang kini semakin menunjukkan perkembangan yang positif.

“Kita juga amat berbangga kerana persediaan mereka dibuat dengan begitu lama dan keputusan ini memberi sesuatu impak yang baik buat kem renang negara,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN