PETALING JAYA: Malaysia menggesa supaya negara ASEAN mengukuhkan kerjasama dalam bidang pertanian bagi menangani krisis keselamatan makanan dan membangunkan sumber manusia dengan memupuk inovasi, teknologi dan pendidikan teknikal.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-China Ke-26 di Jakarta, Indonesia yang berlangsung semalam.
Dalam sidang itu, Anwar turut menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan serta mengukuhkan kerjasama multilateralisme yang terjalin selama ini.
“Malaysia juga mengalu-alukan Tahun Pertukaran Rakyat-ke-Rakyat ASEAN-China pada 2024 yang memberi ruang untuk terus memupuk persahabatan yang berdaya tahan di kalangan generasi masa depan,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Sidang Kemuncak yang dipengerusikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo itu turut disertai oleh pemimpin negara ASEAN lain dan Perdana Menteri China, Li Qiang.
Indonesia menjadi hos sidang selama tiga hari bermula kelmarin sehingga hari ini sebagai Pengerusi ASEAN yang bertemakan ‘ASEAN Matters: Epicentrum of Growth’.
Sebaik tamat Sidang Kemuncak ASEAN-China, Anwar dijadual menyertai Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan Ke-24 yang dihadiri oleh Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan Sidang Kemuncak ASEAN Jepun Ke-26 bersama Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
Pemimpin negara ASEAN yang dipengerusikan oleh Joko Widodo atau Jokowi kemudiannya dijadualkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) Ke-26 yang akan dihadiri oleh China, Korea Selatan dan Jepun.
Selanjutnya, pemimpin ASEAN akan beralih ke Sidang Kemuncak ASEAN – Amerika Syarikat Ke-11 bersama Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris dan diakhirnya dengan Sidang Kemuncak Asean – Kanada yang disertai Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. –UTUSAN