PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar dan inisiatif yang bakal diumumkan semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat, Isnin ini tetap berpandukan kepada permasalahan, keperluan dan keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta semua negeri.
Justeru, Perdana Menteri berkata, dasar dan inisiatif itu bukan sahaja dibentuk daripada pemikiran di kementerian-kementerian semata-mata.
“Saya yakin KSP RMK-12 ini dapat memacu pertumbuhan Malaysia yang lebih seimbang dan mapan di masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Menurut Anwar, KSP RMK-12 adalah satu lagi tindakan Kerajaan dalam menjelmakan agenda Ekonomi Madani yang beliau usulkan.
“Ia adalah dokumen kebijakan yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai Madani,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menerima dokumen KSP RMK-12 daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang turut diiringi Timbalannya, Datuk Hanifah Hajar Taib serta Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron. – UTUSAN










