MUKADIMAH
PARTI Amanah Negara (Amanah) mencipta sejarah baharu di Kelantan apabila calon mereka, DR. HAFIDZAH MUSTAKIM memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.
‘Kelahiran’ anak sulung Amanah di negeri serambi Mekah itu mampu menjadi titik peralihan untuk rakyat Kelantan lebih dekat dengan parti itu.
Ikuti tembual wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama yang juga Ketua Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan itu.
UTUSAN: Apa yang Dr. akan bawa dalam menarik sokongan rakyat Kelantan untuk dekat dengan Amanah?
HAFIDZAH: Pemilihan ADUN Kota Lama sebagai satu peluang yang besar untuk Amanah lebih dekat dengan rakyat di sini dan Kelantan secara amnya. Bukan itu sahaja, ia menjadi platform untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat bagi memastikan mereka yakin dengan kemampuan Amanah sebagai salah satu parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) yang turut bersama dengan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
Kemenangan di Kota Lama mungkin menjadi turning point untuk Amanah lebih diterima di Kelantan?
Ini adalah peluang yang terbuka luas buat Amanah. Jadi pucuk pimpinan tertinggi Amanah di peringkat negeri sudah memberikan komitmen tinggi untuk memperkasa lagi parti seterusnya membantu rakyat Kelantan. Pada masa sama, Amanah bersama rakan gabungan PH iaitu BN perlu terus memperkukuh lagi hubungan bagi memastikan kebajikan rakyat dapat dibela dengan sebaik mungkin.
Seluruh pandangan kini tertumpu ke arah DUN Kota Lama untuk melihat apa pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan di Kelantan.
Permulaan yang baik untuk saya merealisasikan tugas sebagai wakil rakyat dengan menyuntik nafas baharu di kawasan Kota Lama dan negeri Kelantan secara amnya pada sidang DUN nanti. Saya mahu apa yang diharapkan daripada seorang wakil rakyat dapat dilakukan dengan sebaik mungkin terutama melibatkan hubungan negeri dengan persekutuan.
Ramai yang mahu melihat perubahan di Kota Lama. Adakah ia satu tekanan buat Dr.?
Saya akui ia satu tekanan daripada sudut positif untuk terus bekerja membantu dan membela rakyat sebagaimana tanggungjawab yang telah diberikan menerusi kemenangan pada PRN lalu. Kemenangan ini adalah milik bersama termasuk rakyat dan mereka (rakyat) mengetahui perkara itu. Saya lihat rakyat tahu dan mereka mahu bersama-sama melaksanakan pembaharuan kali ini. Doakan semoga saya dapat melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin.
Jika Dr. berjaya ubah Kota Lama, ramai yang beranggapan ia mampu menjadi model mengubah Kelantan menjelang PRU16.
Saya percaya jika kita (PH-BN) mampu menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin, Kota Lama dan Galas mampu menjadi model perubahan untuk mengajak rakyat negeri Kelantan berada di bawah teraju sealiran dengan kepimpinan di peringkat persekutuan. Jika itu berlaku, lebih banyak perubahan dapat dilihat dan dilaksanakan selepas PRU-16 nanti. – UTUSAN










