KKM sedia bentang cadangan tapak pembinaan Pusat Kanser

KKM sedia bentang cadangan tapak pembinaan Pusat Kanser Sarawak 

DR. ZALIHA meninjau cadangan tapak dan diberikan penerangan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian pada pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Kota Samarahan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia untuk membentangkan cadangan tapak pembinaan Pusat Kanser Sarawak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, hal ini kerana tapak dan lokasi pembinaan bagi pusat kanser tersebut sudah dikenal pasti.

“Cadangan bagi potensi tapak pada pusat kanser ini sudah lama dibincangkan di peringkat kementerian dan kerajaan negeri. Kita sudah laksanakan kerja-kerja dalam lapangan dan ini akan dipersembahkan kepada Perdana Menteri termasuk di Kabinet. 

“Kalau semua cadangan ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak melibatkan Kerajaan Persekutuan dan juga negeri, barulah kerja-kerja untuk pembinaannya akan dilakukan bagi memudahkan kita meneruskan projek ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan cadangan tapak projek Pusat Kanser Sarawak, di Pusat Jantung Sarawak di sini hari ini. 

Januari lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak bersedia untuk membina sebuah pusat kanser menggunakan dana negeri menjelang akhir tahun ini jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan berkenaan. 

Jelasnya, pusat kanser itu akan menyumbang kepada penjagaan kesihatan rakyat Sarawak dan memenuhi keperluan pesakit kanser dari Sabah dan negara jiran Kalimantan Barat, Indonesia.

“Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dengan membina bangunan yang menelan kos sekitar RM800 juta manakala kerajaan Persekutuan menyediakan tenaga pakar dan peralatan,” tambah Abang Johari. 

Difahamkan cadangan pembinaan pusat kanser itu meliputi kawasan seluas 8.09 hektar yang akan ditempatkan di sebelah Pusat Jantung, Sarawak di Kota Samarahan. 

Dalam pada itu, Dr. Zaliha memberi jaminan bahawa keputusan untuk pembinaan pusat kanser ini nanti akan dimuktamadkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat. 

“Untuk memuktamadkan, saya harap, Insya-Allah, ada masa terdekat ini. Akan ada pengumuman daripada Perdana Menteri dan juga Premier Sarawak,” dedahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya