'Kita memang tidak akan buat rasuah' - Calon PN Pelangai - Utusan Malaysia

‘Kita memang tidak akan buat rasuah’ – Calon PN Pelangai

KASIM SAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Pas di Parlimen Kemaman tidak menjejaskan sokongan dan peluang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Calon PN, Kasim Samat berkata, semua perjalanan kempen PN ketika ini adalah mengikut peraturan dan garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Kita memang tak buat benda-benda macam itu (rasuah) jadi tak ada terkesanlah (sokongan pengundi).

“Kita berkempen ikut seperti yang digariskan terutamanya peraturan-peraturan terbaharu dalam pilihan raya di enam negeri sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berkempen di Pasar Sehari Felda Chemomoi di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Pada 3 Januari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, pihaknya memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Petisyen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana didakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu.

Mengulas lanjut Kasim berkata, pilihan raya yang digariskan adalah jelas dan berharap petisyen seumpama itu tidak berlaku bagi PRK DUN Pelangai.

“Saya pun bersama wakil calon, dan calon satu lagi hadir taklimat.

“Insya-Allah harap-harap tak berlakulah petisyen seperti di Kuala Terengganu dan terbaharu di Kemaman,” katanya.

Dalam pada itu Kasim berkata, beliau menyasarkan 65 peratus pengundi keluar mengundi pada 7 Oktober nanti.

“Kita ada 2,000 pengundi luar, kita dah hubungi melalui telefon dan sosial media dan menerima respons baik. Insya-Allah mereka balik mengundi,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN