Kerajaan Johor tidak lepas tangan isu bekalan beras - Onn Hafiz

Kerajaan Johor tidak lepas tangan isu bekalan beras – Onn Hafiz

Onn Hafiz (kiri) mencuba salah satu produk yang dipamerkan usahawan di Mini Karnival Maju Johor yang diadakan di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor tidak bersikap lepas tangan dalam isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) walaupun sedar perkara itu tertakluk dalam bidang kuasa pusat.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebaliknya berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat bagi merangka kaedah terbaik dalam membantu kerajaan persekutuan menangani masalah berkenaan.

Hal itu kerana katanya, walaupun bekalan beras dan keperluan asas bukan dibawah kawalan pihaknya, namun ia menjejaskan kesejahteraan penduduk negeri itu.

“Isu bekalan beras ini merupakan satu isu besar, bukan Johor sahaja tetapi seluruh negara. Memang ada kerisauan dan keresahan khususnya di peringkat akar umbi, jadi saya telah minta exco pertanian dan juga exco pengguna berikan cadangan dalam membantu kerajaan pusat.

“Dalam masa terdekat ini, saya juga akan turun padang untuk lihat situasi di pasaraya dan bagaimana kita boleh bantu. Kita tidak bersikap lepas tangan dalam soal ini kerana akhirnya yang terkesan adalah rakyat Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat Mini Karnival Maju Johor yang diadakan di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.

Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri pentadbirannya kekal komited membantu meningkatkan tahap kesejahteraan kehidupan rakyat negeri merangkumi pelbagai aspek.

“Ya ini isu nasional dimana orang Johor juga terlibat. Pendekatan sama diambil dalam aspek penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan di negeri ini, begitu juga dalam isu kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

“Apa sahaja masalah yang dihadapi rakyat negeri ini, kita akan bantu,” tegasnya.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip memaklumkan pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Johor berhubung isu bekalan beras.

Selain itu, pihaknya turut memaklumkan Johor telah menerima bekalan tambahan 100 metrik tan BPT daripada beberapa agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Pertubuhan Peladang untuk mengatasi kekurangan bekalan tersebut di negeri ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN