Dibayar terlalu rendah, rasa kerja saya dihina- Faye Kusairi - Utusan Malaysia

Dibayar terlalu rendah, rasa kerja saya dihina- Faye Kusairi

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Faye Kusairi mengakui pernah berdepan detik yang cukup menyentuh hati apabila menerima tawaran bayaran yang terlalu rendah sehingga membuatkan dirinya menangis dan mempersoalkan nilai dirinya sebagai seorang pelakon.

Menurut Faye, pengalaman itu berlaku beberapa tahun lalu ketika dia menerima sebuah kontrak kerja yang disifatkan sangat tidak setimpal dengan usaha serta komitmennya dalam industri seni.

“Baru beberapa tahun kebelakangan ini, saya pernah ditawarkan bayaran yang sangat, sangat rendah. Terlalu rendah sehingga apabila saya menerima kontrak itu dan membacanya, saya terus menangis.

“Sejujurnya, saya menangis. Saya fikir, ‘Wah, hanya ini bayaran saya untuk kerja saya?’ Saya rasa seperti kerja saya dihina. Sampai saya tertanya-tanya pada diri sendiri, seteruk itukah saya bekerja?

“Adakah saya tidak boleh berlakon? Adakah saya tidak menjaga call time? Adakah saya ini biadab dengan orang? Sampai begitu sekali saya mempersoalkan diri sendiri,” katanya dalam ruang audio siar Bukak Mulut.

Faye berkata, apa yang benar-benar melukakan hatinya bukanlah jumlah bayaran semata-mata, sebaliknya nilai dirinya yang dirasakan begitu rendah di mata pihak produksi.

“Ia sangat menyakitkan hati saya. Bukan sebab bayaran itu kecil, tetapi kerana itulah nilai yang mereka letakkan pada saya. Begitulah cara mereka menilai saya.

“Saya bukanlah orang yang terlalu memikirkan soal duit. Saya tidak pernah meminta bayaran yang terlalu tinggi. Tetapi apabila perkara itu berlaku, saya rasa mungkin inilah nilai saya, sebab itu orang kurang mengambil saya berlakon.

“Sampai saya terfikir, mungkin saya memang tidak cukup bagus untuk berada dalam industri ini,” ujarnya penuh emosi.

Dalam masa sama, Faye turut mendedahkan dia pernah merendahkan kadar bayarannya sendiri demi memastikan pelakon senior menerima bayaran yang lebih baik dan setimpal dengan pengalaman mereka.

“Sejujurnya, saya pernah mengurangkan gaji saya sendiri supaya senior dapat bayaran yang lebih baik. Saya mahu mereka rasa dihargai kerana mereka lebih lama berada dalam industri ini.

“Tak akan kita mahu gaji mereka dipotong hanya kerana kita dianggap nama besar? Saya rasa kasihan kepada mereka,” katanya.

Tambahnya, perkara itu pernah berlaku dalam sebuah produksi popular apabila pihak produksi memaklumkan semua pelakon terpaksa menerima pemotongan bayaran.

“Mereka beritahu kalau saya terima gaji itu, semua orang juga perlu dipotong gaji. Waktu itu penggambaran pun belum bermula lagi, dan ia merupakan antara naskhah terkenal yang saya lakonkan.

“Saya kemudian semak dengan rakan-rakan lain. Saya tanya sama ada mereka dapat bayaran mengikut kadar sepatutnya, dan mereka beritahu tidak, semuanya dibayar sedikit demi sedikit.

“Jadi saya beritahu pihak produksi, kalau saya setuju dengan bayaran rendah ini, boleh tak lebihan itu diberikan kepada pelakon senior? Saya cakap, kalau perkara itu tidak dibuat, saya tidak halalkan.

“Akhirnya saya terima juga kerja itu dengan harapan bahagian gaji saya itu benar-benar disalurkan kepada senior,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN