PETALING JAYA: Kerajaan berdepan cabaran komunikasi bagi menyampaikan dasar-dasar dan usaha yang dilakukan apabila berselisih dengan ideologi yang dimainkan oleh blok pembangkang iaitu mengenai soal perkauman serta identiti.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui terdapat kelemahan daripada segi komunikasi pihak kerajaan, namun, ia bukan mengenai kaedah dan strategi semata-mata, tetapi soal kandungan dan ideologi yang dipertahankan.
Menurut beliau, kandungan kerajaan yang menceritakan tentang dasar dan pelan jangka masa panjang tidak terlalu menarik perhatian orang ramai berbanding kandungan mengenai perkauman dimainkan pihak pembangkang dan ia dilihat lebih mudah tersebar.
“Kita (kerajaan) perlu terangkan soal pelaksanaan dasar, soal perkara-perkara seperti ekonomi mikro, soal perkara yang akan berlaku 10 ke 15 tahun akan datang. Perkara ini sebenarnya tidak menarik minat sangat.
“Saya juga perhatikan, contohnya dari 2010, ia juga bergantung kepada masyarakat. Setiap gabungan politik ni mempunyai penyokong masing-masing, apabila penyokong itu kepada parti yang menjadi pembangkang. Masa itu, dia memang berjuang habis-habisan sebab dia nak suruh parti dia (sokong) jadi kerajaan.
“Ia juga ada faktor yang penyokong-penyokong parti kerajaan ni memang selalunya agak docile, sebab parti dia sudah menjadi kerajaan. Jadi, bagi dia, semua sudah okay, dia kurang bertempur sedikit, dia meneruskan hidup macam biasa, kurang bimbang tentang politik.
“Begitulah juga yang dari kerajaan jadi pembangkang, sebelum ini tidak bersuara, tiba-tiba jadi ‘bising’. Kalau nak tengok, kita tengok penyokong-penyokong Pas semasa 33 bulan mereka dalam kerajaan, mana pernah bersuara,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman Facebook.
Terdahulu, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dikritik oleh masyarakat terutama dalam media sosial kerana didakwa gagal dalam menyampaikan penerangan mengenai usaha-usaha yang sudah pun dilakukan oleh kerajaan.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, dari segi kepantasan kerajaan menjawab dan berinteraksi dengan rakyat, ia akan diperbaiki.
Tambahnya, beliau yakin sekiranya kerajaan melakukan penerangan secara berterusan dan mengadakan dasar serta program kerajaan yang kesannya kepada rakyat, ia mula dirasai, maka, lebih ramai akan memahami mengenai kandungan disampaikan.
“Pihak pembangkang pun tidak ada modal sangat kerana yang akan menjawab adalah rakyat sendiri. Jadi, buat masa sekarang, insya-Allah, saya akan perbanyakkan (video) memang lepas ini menyampahlah Perikatan Nasional (PN) tengok video saya berterusan.
“Saya juga berharap penyokong dan aktivis Kerajaan Perpaduan, kita gunakan kandungan-kandungan ini untuk disebarkan seolah-olah kita sekarang masih pembangkang kerana semangat itu perlu kita naikkan,” katanya.-UTUSAN









