Keputusan Yasin bebas atau bela diri 3 Oktober

Keputusan Yasin bebas atau bela diri 3 Oktober ini

MUHAMMAD YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan sama ada penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap tiga pertuduhan dadah, akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 3 Oktober ini.

Hakim Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan selesai memanggil saksi ketujuh yang juga saksi terakhir, Profesor Dr. S. Sreeramanan memberi keterangan.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 29 September ini.

Terdahulu pihak pendakwaan menutup kes selepas mahkamah mendengar keterangan tujuh saksi termasuk Sreeramanan yang merupakan pakar bioteknologi tumbuhan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin. Selain Raja Zaizul, kes itu turut dikendalikan oleh TPR Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.

Semasa prosiding, Raja Zaizul turut memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan tujuh saksi kepada pembelaan antaranya doktor dan anggota polis.

Bagaimanapun, peguam Nur’ain Shahiera Khalid yang mewakili Muhammad Yasin, mengesahkan tidak bercadang untuk memanggil saksi yang ditawarkan pendakwaan pada prosiding bela diri.

Dalam perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwaan ketiga memberitahu tertuduh kelihatan cemas dan terkejut semasa polis menyerbu unit kediaman rumahnya di Damansara.

Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin, 42, berkata penyanyi itu dilihat dalam situasi demikian selepas dia dan beberapa anggota lain memperkenalkan diri sebagai polis.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN