Kepentingan pelajar terlibat dalam aktiviti kokurikulum - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Kepentingan pelajar terlibat dalam aktiviti kokurikulum – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Jalan Dato Ali, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penglibatan murid sekolah di dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu membina kemahiran insaniah atau ‘soft skills’ yang dikaitkan dengan sifat personaliti individu, bijak berkomunikasi, berdaya tahan dan berinovatif.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia merupakan elemen yang penting dan perlu dikuasai oleh setiap pelajar di sekolah di samping pencapaian akademik.

Titah baginda, penguasaan kemahiran ini adalah untuk memastikan setiap pelajar menjadi insan yang berkemahiran untuk berkomunikasi, menyelesaikan masalah, berinovasi serta berdaya saing.

“Lima kemahiran insaniah penting yang diperlukan oleh seorang pelajar iaitu kerja berpasukan, komunikasi dan kemahiran interpersonal, mengendalikan masa, mengutamakan kerja-kerja dan kepimpinan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ali Ahmad, Jalan Dato Ali di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP Perlis), Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Cikgu Naharudeen Othman dan Pengetua sekolah, Mohamad Nor Man.

SMK Dato’ Ali Ahmad telah memperoleh pencapaian cemerlang dalam SPM 2022 dengan calon layak sijil meningkat daripada 89 kepada 98peratus dan keputusan 100 peratus lulus Bahasa Melayu.

Seorang muridnya telah dipilih mewakili negeri Perlis dalam program Jambori Skim Lencana Anti Dadah Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan.

Dalam bidang sukan pula, Amsyar Zahin Mohd Hafiz telah dinobatkan sebagai Johan dalam Kejohanan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perlis (MSSPs) bawah 15 tahun.

Sempena program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri itu juga Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan Perpustakaan Ar Razi yang merupakan perpustakaan baru di sekolah ini.

Ia berkonsepkan taksonomi seperti Teknologi Maklumat, ‘Internet of Things (IoT)’, Keusahawanan, Pertanian, Pengurusan Acara dan Komunikasi.

Antara sudut yang terdapat di pusat ilmu ini ialah seperti sudut pidato, info digital, santai ‘corner’, kaunter sirkulasi, sudut permainan dan sudut pembelajaran berasaskan teknologi maklumat.

Baginda yang juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis menzahirkan agar usaha memupuk kemahiran insaniah perlulah kerjasama daripada semua pihak bagi melahirkan rakyat Perlis yang benar-benar bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya