BINTULU: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meneruskan rombongan ke bahagian Bintulu, selepas Miri.
Rombongan jelajah Kembara Kenali Borneo tiba di Pitstop 1 di sini iaitu Kampung Penan Muslim, Batu 10 pada Ahad.

Penduduk pelbagai lapisan masyarakat menyambut keberangkatan tiba dengan keterujaan Seri Paduka Baginda sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sarawak di sepanjang laluan menuju ke majlis yang diadakan di perkarangan Masjid Darul Falah itu.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua sempena Kembara Kenali Borneo itu turut disambut dengan tarian etnik Penan, Orang Ulu dan Melanau.
Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda berkenan menandatangi plak Kembara Kenali Borneo dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf.
Seri Paduka Baginda juga menunaikan solat Maghrib di Masjid Darul Falah.
Seterusnya, rombongan Baginda turut menelusur Jejambat Nyabau atau Nyabau Interchange sepanjang 1.23 kilometer (km) pada malam tadi.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua serta rombongan di jejambat terpanjang di Sarawak itu sekitar jam 7.20 malam telah disambut oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Ir Ts Richard Tajan.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menandatangani memento untuk pihak JKR Sarawak sebelum Seri Paduka Baginda berdua berkenan mengukir kenangan indah dengan bergambar bersama Ir Richard serta pegawai-pegawai kanan JKR Sarawak di mercu tanda berkenaan.
Seri Paduka Baginda berdua berkenan menghadiri santapan malam di kediaman Tuan Yang Terutama (TYT) Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Hari ini, Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan mengadakan perjalanan dan persinggahan ke Masjid Darul Ibadah, Tatau. Seterusnya ke persinggahan di bahagian Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 September ini.-UTUSAN










