Kembara Kenali Borneo : Aduan rakyat kepada Agong realiti

Kembara Kenali Agong: Aduan rakyat kepada Agong realiti sebenar masalah infrastruktur Sabah

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Rakyat mengadu masalah infrastruktur di Sabah terus kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepanjang Program Kembara Kenali Borneo diharap dapat membuka mata kerajaan Persekutuan.

Masalah seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang diluahkan oleh rakyat dan dicatatkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah realiti sebenar di Sabah.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, lawatan Al-Sultan Abdullah menerusi Kembara Kenali Borneo itu harus membuka mata kerajaan Persekutuan untuk melakukan yang lebih baik untuk mempercepat pembangunan di Sabah.

“Sememangnya itu adalah realiti sebenar. Luahan yang disampaikan rakyat adalah luahan hati sebenar rakyat Sabah terhadap keadaan infrastruktur di Sabah.

“Maka, kerajaan Persekutuan perlu berhenti daripada menganaktirikan Sabah dari segi peruntukan untuk membina dan membaiki pulih kemudahan infrastruktur asas di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ronald, yang juga Ahli Parlimen Beluran itu berkata, sebahagian kerosakan jalan yang dilalui oleh Al-Sultan Abdullah sepanjang Kembara Kenali Borneo di Sabah perlu dibaiki dengan pantas.

Kementerian Kerja Raya perlu menyegerakan kerja-kerja membaik pulih jalan yang menampakkan kedaifan keadaan jalan raya di Sabah.

Pada masa sama, kerajaan Persekutuan juga harus melihat dua sektor penting yang perlu diberi perhatian iaitu kesihatan dan pendidikan.

“Perkhidmatan dalam kedua-dua sektor itu masih jauh ketinggalan di Sabah berbanding negeri-negeri lain.

“Maka, kerajaan Persekutuan perlu mengambil serius keperluan mempertingkatkan peruntukan bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan dan Pendidikan di Sabah menjadi lebih baik,” katanya.

Ronald juga melihat keperluan untuk kementerian kritikal seperti Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar diletakkan di bawah tanggungjawab ahli Parlimen dari Sabah.

Ia bagi memudahkan penyaluran peruntukan dan pelaksanaan projek kerana mereka lebih memahami keadaan sebenar di Sabah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN