Kemalangan 7 kenderaan; Warga emas maut dalam perjalanan hantar cucu sambung belajar - Utusan Malaysia

Kemalangan 7 kenderaan; Warga emas maut dalam perjalanan hantar cucu sambung belajar

KEADAAN kereta Toyota Corolla yang dinaiki lima sekeluarga termasuk seorang warga emas yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya melibatkan tujuh buah kenderaan termasuk dua treler, di KM164.8 PLUS berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap, Pulau Pinang awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Warga emas yang terbunuh dalam nahas jalan raya membabitkan tujuh buah kenderaan termasuk dua buah treler di sini, awal pagi tadi dalam perjalanan dari Taiping, Perak menuju ke Perlis untuk menghantar cucunya menyambung pengajian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Ng Ah Tiam berkata, selain wanita berusia 76 tahun itu, turut berada dalam kereta jenis Toyota Corolla terbabit ialah suami isteri berusia 54 dan 48 tahun serta dua anak mereka yang berusia 19 dan 22 tahun.

NG AH TIAM

Katanya, kesemua mereka mengalami cedera parah dengan pemandu kereta iaitu lelaki yang berusia 54 tahun itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini.

Sementara itu, tambah beliau, isterinya serta kedua-dua anak pasangan itu dikejarkan ke Hospital Parit Buntar (HPB), Perak untuk rawatan lanjut.

“Turut mengalami cedera parah dan dikejarkan ke HPB ialah pemandu lori treler berusia 24 tahun yang membawa muatan kayu.

“Pada masa sama, dua lagi mangsa turut mengalami cedera ringan iaitu penumpang kereta Perodua Bezza iaitu wanita berusia 24 dan 44 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Ah Tiam, selain lima kenderaan tersebut, kemalangan itu turut melibatkan dua buah kenderaan lain iaitu Proton Waja dan Perodua Bezza di laluan bertentangan selepas pemandunya gagal mengelak muatan kayu yang terjatuh ke arah kenderaan mereka.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, Ah Tiam memberitahu, siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku apabila treler yang membawa muatan kayu tersebut hilang kawalan sebelum terbabas ke sebelah kanan penghadang lebuh raya dan dirempuh oleh sebuah lagi treler dari arah yang sama.

Katanya, treler terbabit kemudian dirempuh pula oleh kereta Toyota Corolla sebelum berlaku pelanggaran secara berturut-turut apabila dua lagi kenderaan iaitu Perodua Alza dan Bezza gagal mengelak.

“Secara keseluruhannya, 16 mangsa terlibat dalam kemalangan itu dengan seorang daripada mereka meninggal dunia, lima cedera parah, dua cedera ringan manakala lapan lagi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan,” ujar beliau.

Terdahulu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi di Kilometer (KM) 164.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Bukit Minyak-Sungai Bakap dekat sini itu dilaporkan telah menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya yang teruk sehingga empat jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya