LONDON: Mohamed Salah akan tetap menjadi sasaran utama kelab Liga Pro Saudi, Al-Ittihad apabila jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali dibuka pada Januari nanti walaupun Liverpool menolak perpindahannya ketika ini.
Pengarah bola sepak Liga Pro Saudi, Michael Emenalo mengisytiharkan dia tidak berputus asa dengan kemungkinan menandatangani bintang penyerang Mesir itu pada masa hadapan.
Bekas pengarah Chelsea itu percaya pemain berumur 31 tahun itu masih boleh berpindah dari EPL dan menyertai Liga Pro Saudi pada masa hadapan.
Al-Ittihad menawarkan 215 juta pound (RM1.26 bilion) sebelum tamat jendela perpindahan Liga Pro Saudi ditutup Khamis lalu, namun gagal memikat Salah.
Salah menyambung kontrak tiga tahun bersama Liverpool tahun lalu, dan ia hanya akan tamat dua tahun lagi.
“Kami perlu melakukan sesuatu dengan cara yang sangat profesional dan penuh hormat. Itulah tujuan kami berada di sana (England).
“Jika ia (perjanjian) tidak berlaku (sekarang), bukan kerana kami tidak lagi menyukai pemain itu, atau kerana kami mempunyai masalah dengan Liverpool. Ia kerana perkara tertentu yang perlu diselaraskan untuk semua pihak yang terlibat dalam proses itu tidak sejajar.
“Tiada siapa yang marah, kami teruskan, tetapi kami tidak menutup pintu sepenuhnya dan jika peluang ada untuk melakukan sesuatu dan melakukannya dengan baik dan ia membawa Salah ke Liga Pro Saudi, kami semua akan sangat berterima kasih,” kata Emenalo.
Selepas ketibaan Cristiano Ronaldo secara percuma ke Al-Nassr, Liga Pro Saudi telah menambah beberapa pemain berprofil tinggi sepanjang jendela perpindahan musim panas Eropah.
Neymar, Riyad Mahrez, Jordan Henderson, Sadio Mane, Fabinho dan lain-lain semuanya telah memilih untuk menyertai kelab Arab Saudi sejak beberapa bulan lalu.– AGENSI









