KUCHING: Kementerian Belia dan Sukan sedia menyalurkan bantuan kepada kerajaan Sarawak bagi memastikan kejayaan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di negeri ini tahun depan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Kerajaan Sarawak dan Persekutuan yang terlibat dalam penyediaan Sukma 2024 sedang giat melakukan perbincangan kerjasama berkenaan.
“Jawatankuasa SUKMA sudah mula dibincangkan dan kita akan mengadakan satu mesyuarat rasmi.
“Datuk Gerald Rentap Jabu (Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak) telah pun memberi taklimat kepada saya bahawa mereka mempunyai beberapa permintaan yang ingin mereka sampaikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung status peruntukan penganjuran Sukma yang ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada tahun 2024 selepas hadir merasmikan Program Kemahiran Latihan Asas Sukan Peringkat Bahagian Kuching Fasa 2 Siri 1 di sini hari ini.
Hannah seterusnya berkata, kementeriannya akan turut meneliti bagaimana Kerajaan Persekutuan boleh memberikan bantuan kepada kerajaan Sarawak.
“Kita akan bincang dan kita akan lihat apakah cara yang paling sesuai untuk kita bantu supaya kita bersama-sama menjayakan Sukma ini,” ujarnya.
Sementara itu, Sukma 2024 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos tahun depan dan akan merentasi lapan bahagian di negeri ini termasuk Kuching, Sri Aman, Samarahan, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Sebelum ini, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Sukma dijangka menelan belanja lebih RM100 juta.-UTUSAN