WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mengumumkan asteroid 2024 YR4, yang sebelum ini digelar sebagai ‘Pembinasa Bandar’ mempunyai kemungkinan 4.3 peratus untuk menghentam bulan pada 22 Disember 2032.
Asteroid itu yang hanya ditemui pada penghujung Disember tahun lalu, dianggarkan berukuran antara 53 hingga 67 meter, iaitu sebesar sebuah pesawat Boeing 747 dan sekiranya menghentam bumi, kesannya dikatakan mampu meletupkan kawasan seluas sebuah bandar besar dengan kekuatan letupan bersamaan 7.7 megaton TNT serta mencipta kawah selebar 914 meter.
Kemungkinan asteroid tersebut melanggar bumi diklasifikasikan sebagai sifar dan fokus kini tertumpu kepada bulan, selepas NASA mengemaskini anggaran kemungkinan impak berdasarkan data baharu yang dikutip menerusi Teleskop Angkasa James Webb (JWST).
“Seiring dengan penambahan data, adalah normal untuk kemungkinan impak berubah,” kata pegawai hal ehwal awam di Pejabat Koordinasi Pertahanan Planet NASA, Molly Wasser.
Menurut NASA, sekiranya asteroid tersebut menghentam bulan, kesan hentaman itu mungkin dapat dilihat dari bumi dalam bentuk pancaran cahaya terang apabila bahan permukaan bulan tercampak ke angkasa.
Kini berada sejauh lebih 48 juta kilometer dari bumi, asteroid 2024 YR4 tidak lagi dapat dikesan menggunakan teleskop di bumi, justeru, NASA bergantung kepada JWST yang berada kira-kira 1.6 juta kilometer dari bumi bagi mengesan pergerakan batu angkasa itu.
Data terakhir daripada JWST menggunakan kamera inframerah berhampiran berjaya dikutip bulan lalu sebelum asteroid itu hilang daripada pandangan teleskop angkasa tersebut.
Asteroid 2024 YR4 kini berada dalam orbit elips yang luas mengelilingi matahari dan dijangka kembali mendekati sistem suria dalam sekitar tahun 2028, iaitu ketika ia kembali cukup hampir dan terang untuk dikesan semula dari bumi.
Apabila kembali mendekati matahari, kelajuan asteroid tersebut dijangka mencecah 137 juta kilometer sejam, hasil tarikan graviti matahari yang meningkat apabila objek angkasa semakin hampir ke arah pusat sistem suria itu.










