PETALING JAYA: Karnival UDA 2023 anjuran UDA Holdings Berhad (UDA) yang akan berlangsung di empat lokasi bermula hari ini membawa dua acara serentak iaitu program usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria 2023.
Sempena program USHAniaga itu, UDA menyediakan pelbagai insentif kepada usahawan dan gerai jualan usahawan.
Bagi kempen hartanah pula UDA membawa pelbagai pilihan hartanah untuk semua peringkat generasi dengan harga dan promosi menarik.
“Program USHAniaga itu bertujuan memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan yang mampan selain menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi yang berdaya saing di pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.
“Ia juga memberi ruang kepada usahawan UDA dan rakan kolaborasi bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum dan komuniti dengan lebih meluas selain mempromosi kemudahan dan insentif usahawan yang disediakan UDA untuk membantu perkembangan perniagaan,” kata UDA dalam satu kenyataan.
Menerusi kempen hartanah pula yang merupakan kempen pemasaran tahunannya bermula dari Julai lalu hingga Julai tahun depan, UDA mahu memperkenalkan produk-produk hartanah terbaharu UDA dengan skim dan ganjaran berupa hadiah-hadiah menarik kepada bakal pembeli rumah UDA untuk sepanjang tahun 2023.
Dalam pada itu, UDA berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang interaktif dan bermaklumat di mana bakal pembeli boleh terlibat secara langsung dengan pasukan UDA, memahami ciri unik setiap hartanah seterusnya membuat keputusan yang betul apabila membeli produk UDA.
Hartanah yang ditawarkan adalah UDA Heights, Sedili Residensi dan Pisonia Ville di Johor serta Amaanee Residences, Wakaf Seete Aishah dan Crescent Dew di Pulau Pinang.
Projek lain adalah Kuala Terengganu Golf Resort, 38 Bangsar di Kuala Lumpur, Dedaun Residensi di Selangor dan Neu Pendington di Sarawak.
Sempena kempen hartanah berkonsepkan ‘Sempurna Untuk Semua Generasi’, pembeli hartanah UDA berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai hampir RM200,000 berupa hadiah utama dua buah kenderaan SUV, Perodua Ativa, percutian ke Dubai, Korea Selatan, Bali dan Pulau Semporna di Sabah.
UDA juga menawarkan hadiah bermalam di Ancasa Hotel & Resort, 50 kad petrol bernilai RM100 setiap satu dan 50 kad tambah nilai Touch & Go bernilai RM50 setiap satu.
Karnival UDA 2023 akan menjelajah empat lokasi dengan yang pertama di Angsana Johor Bahru Mall, Johor hari ini hingga 1 Oktober 2023, seterusnya di Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (dari 27-29 Oktober 2023), Lintasan Deasoka Kota Kinabalu, Sabah (24-26 November 2023) dan Angsana Ipoh Mall, Perak (8-10 Disember 2023).
UDA turut menyasarkan pembabitan seramai 500 usahawan sepanjang karnival itu dengan menjangkakan kira-kira 120,000 pengunjung akan datang ke empat lokasi karnival.
Sepanjang karnival itu berlangsung, akan diadakan program seperti pameran dan gerai jualan hartanah, pameran dan gerai jualan usahawan termasuk melibatkan selebriti dan pempengaruh, pameran KUSKOP, kelas bimbingan usahawan “Bizz Clinic”, padanan perniagaan, ceramah keusahawanan dan hartanah, dialog bersama menteri, persembahan artis, Didi & Friends Meet & Greet, Kidz Zumba, pertandingan mewarna kanak-kanak, Family Mini Hunt dan Fire Show.
Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat lanjut. – UTUSAN