KUALA LUMPUR: Kerajaan memberitahu bahawa Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang merangka rancangan lima tahun negara perlu dinilai semula sepenuhnya.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini disebabkan kajian separuh penggal RMK-12 yang bakal dibentang di Dewan Rakyat, Isnin ini, sebagai sesuatu yang ‘unik’ kerana mempunyai dua situasi yang berlainan.
Katanya, perancangan yang dibuat Kabinet terdahulu sebelum pandemik Covid-19 sudah tidak boleh lagi dipakai dan kajian separuh penggal kali ini disifatkan sebagai rancangan baharu untuk negara di bawah Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, katanya, kajian kali ini akan dibentang di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentang Ekonomi Madani yang meletakkan dua sasaran iaitu untuk menaikkan kadar siling dan lantai.
“Covid-19 yang berlaku pada tahun 2020 hingga 2022 sudah merubah banyak perkara, justeru, ia perlu dinilai seratus peratus kerana tanggapan ataupun perancangan yang dibuat sebelum itu…sekarang sudah tidak boleh diguna pakai.
“Kajian separuh penggal kali ini boleh dikatakan sebagai rancangan yang baharu untuk negara,” katanya dalam satu klip video yang dimuat naik dalam Facebook semalam.
Dalam pada itu, Rafizi yakin sekiranya perkara itu diteliti dengan baik, ia akan memberikan gambaran yang cukup jelas kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Bagi setiap tumpuan yang digariskan di dalam kajian separuh penggal ini kita pastikan bahawa manfaat yang diterima itu dijelaskan kepada rakyat, pihak swasta dan kepada kerajaan,” katanya.
Katanya, menaikkan siling adalah untuk memastikan ekonomi negara diangkat ke tahap lebih tinggi menyaksikan gaji yang lebih tinggi, kandungan teknologi dan kandungan nilai yang lebih baik sekali gus meningkatkan prestasi ekonomi negara.
“Bagi menaikkan lantai pula, kerajaan mahu pastikan jika ekonomi Malaysia berkembang dengan lebih pesat dan ada lebih banyak kekayaan yang dihasilkan daripada pertumbuhan ekonomi ini, agihannya itu adalah adil kepada semua,” katanya.
RMK-12 merupakan rancangan lima tahun (2021-2025) dibentang Kabinet terdahulu diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM400 bilion untuk projek pembangunan sedia ada dan baharu.
Ia merupakan peruntukan kewangan terbesar negara yang pernah diluluskan. RMK11 sebelum ini berjumlah RM260 bilion.
Kabinet ketika itu berusaha mencapai pendapatan purata isi rumah mencecah RM10,000 sebulan menjelang 2025, jurang yang mengecil antara KDNK Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta pengurangan pelepasan gas rumah hijau. -UTUSAN