Kadar pematuhan peraturan jalan raya meningkat 60 peratus

Kadar pematuhan peraturan jalan raya penunggang motosikal meningkat 60 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar pematuhan peraturan  keselamatan jalan raya oleh penunggang motosikal di negeri Selangor meningkat sehingga mencecah 60 peratus.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli berkata, menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh pihaknya di Selangor mendapati, tahap pematuhan kepada peraturan jalan raya oleh penunggang motosikal meningkat sebanyak 10 peratus.

“Pada minggu pertama pelaksanaan Op Bersepadu JPJ menyaksikan 50 peratus penunggang motosikal mematuhi peraturan yang ditetapkan atas jalan raya tetapi ia bertambah 10 peratus dan meningkat kepada 60 peratus pematuhannya pada minggu ketiga iaitu dalam tempoh 21 hari sahaja.

“Sebanyak 46,066 buah motosikal telah diperiksa selain  sebanyak 18,533 keping notis saman dikeluarkan pihak berkuasa atas pelbagai jenis kesalahan pelanggaran peraturan lalu lintas,”katanya dalam sidang akhbar pelaksanaan Op Bersepadu di Plaza Tol Awan Besar menghala ke Kuala Lumpur malam tadi.

Kata beliau, JPJ Selangor juga mengesan sebanyak 6,398 kesalahan tiada insurans kenderaan semasa pemeriksaan dalam tempoh berkenaan.

“Sebanyak 4,535 kesalahan lagi membabitkan tidak memiliki lesen memandu dan sebanyak 1,038 buah motosikal telah disita dalam operasi sama kerana diklasifikan sebagai tidak selamat digunakan di atas jalan raya. 

“JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkat keselamatan jalan raya dalam kalangan penggunanya,” katanya.

Tegasnya, antara tujuan pelaksanaan operasi bersepadu berkenaan adalah untuk mengesan pemandu kenderaan yang menggunakan barang terlarang dan kesalahan dadah serta  memastikan kenderaan yang berada di atas jalan raya selamat digunakan.

“Selain itu, kita juga mengesan kenderaan yang terlibat kegiatan jenayah khususnya kecurian kenderaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi operasi bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam tadi, sebanyak 1,458 kenderaan telah diperiksa.

Kata beliau, daripada  jumlah itu, sebanyak 668 buah kenderaan diambil tindakan manakala sebanyak 856 notis saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas pengguna jalan raya.

“Kesalahan yang paling banyak dikesan dan diambil tindakan oleh JPJ adalah membabitkan pengguna yang tidak memiliki lesen kenderaan motor dan  cukai jalan LKM iaitu sebanyak 281 kes yang diambil tindakan saman,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan pihaknya sedia maklum mengenai isu orang ramai orang sejak akhir-akhir ini mengecam tindakan JPJ menguatkuasakan undang-undang seperti tidak mempunyai cukai jalan dan tidak mempunyai lesen memandu sah.

Tetapi katanya, tindakan daripada JPJ itu adalah demi kebaikan semua pihak yang mana jika satu kenderaan tidak mempunyai insurans atau cukai jalan kenderaan, dia bukan sekadar membahayakan pemandu itu sendiri malah dia turut membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Jadi inilah kenapa JPJ sangat mementingkan supaya tindakan perlu diambil ke atas pesalah jalan raya yang mana kita terpaksa menyita kenderaan atau motosikal yang tidak mempunyai cukai jalan atau insurans kenderaan.

“Ia bertujuan mengelakkan daripada mangsa yang tidak bersalah, orang ramai yang berada di jalan raya yang tidak bersalah menjadi mangsa kemalangan yang bukan kesalahan dia sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN