Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat

SAIFUDDIN Abdullah (kiri) bertemu penduduk yang kediaman mereka dinaiki air ketika meninjau kawasan yang dilanda banjir di Kampung Alor Madi, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lima daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Kuala Muda dan Pokok Sena berdepan banjir di negeri ini berikutan hujan lebat yang melanda kebanyakan kawasan sejak kelmarin. 

Penduduk yang menjadi mangsa banjir juga terus meningkat apabila seramai 341 mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negeri setakat pukul 12 tengah hari ini.

Angka itu menyaksikan peningkatan mendadak daripada 268 mangsa yang direkodkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah pada pukul 8 pagi ini.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak lima PPS dibuka di Pokok Sena, Kubang Pasu dan Kota Setar bagi menempatkan mangsa yang terjejas daripada 102 keluarga. 

Katanya, Kubang Pasu terus menjadi daerah tertinggi mangsa apabila 150 orang daripada 43 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun manakala 12 keluarga terdiri daripada 38 individu lagi di Dewan Kampung Tradisi, Lembah Keriang. 

“Kota Setar pula terdapat dua PPS yang dibuka iaitu Dewan Sri Bagan di Taman Sri Bagan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman. Di Dewan Sri Bagan, terdapat 14 keluarga yang ditempatkan di situ melibatkan 40 mangsa. 

“Sementara di SK Taman Aman, terdapat 40 mangsa daripada 12 keluarga berteduh di situ. Selain itu, sebuah PPS dibuka di Pokok Sena sejak pukul 2 pagi ini bagi menempatkan 73 individu,” katanya ketika membuat tinjauan banjir di Kampung Alor Madi di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, setakat pagi ini, paras air empat sungai masih berada pada tahap bahaya walaupun tiada hujan sejak petang semalam. 

“Empat Sungai itu adalah Sungai Laka di Changlun yang merekodkan catatan 22.24 meter (m), Sungai Bata di Mukim Temin (9.43m), Sungai Pendang 2.83m dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman iaitu setinggi 4.15m. 

“Cuaca hari ini makin baik dengan jangkaan cerah serta panas sepanjang hari. MetMalaysia juga mengeluarkan notis bahawa amaran hujan lebat pada tahap waspada telah ditamatkan dan dengan itu kita harapkan keadaan banjir di kawasan terlibat akan pulih secepat mungkin,” katanya. 

Sementara itu beliau memaklumkan, pihaknya turut bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berkaitan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku antara Jumaat ini hingga 2 Oktober depan. 

“Kita berharap agar cuaca cerah dan panas berterusan agar banjir yang sedang berlaku ini dapat reda sepenuhnya dan tidak bertembung dengan fenomena tersebut. Sekiranya bertembung kemungkinan banjir akan lambat surut dan lebih banyak penempatan akan dinaiki air,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya