JKR, LLM siap sedia hadapi banjir - Menteri Kerja Raya - Utusan Malaysia

JKR, LLM siap sedia hadapi banjir – Menteri Kerja Raya

LKAN 2022
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersiap sedia bagi memastikan jaringan perhubungan jalan raya tidak terjejas dengan bencana banjir.

Ini susulan negara dijangka memasuki fasa Monsun Timur Laut pada November 2023 sehingga Februari 2024, peningkatan sebanyak 20 peratus hingga 40 peratus daripada purata jumlah hujan jangka panjang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perubahan cuaca ini berkemungkinan memberi kesan terhadap infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan dan lebuhraya berikutan jangkaan peningkatan jumlah hujan.

“Justeru Kementerian Kerja Raya dan agensinya, JKR dan LLM bersiap siaga bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekaligus keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan.

“Ini selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) 20, dimana JKR dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kenderaan dan tenaga kerja untuk kerja-kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana dan logistik pengangkutan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, JKR juga berperanan menyediakan tempat berlindung sementara seperti kanopi atau khemah, menyediakan perkhidmatan teknikal dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan forensik, geoteknik, struktur dan lain-lain seperti kejadian tanah runtuh dan kegagalan struktur bangunan atau tanah serta melaksanakan penilaian kerosakan infrastruktur awam akibat bencana.

“Sebanyak 2,580 aset jentera kerajaan Persekutuan dan kerajaan seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok telah bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastuktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa.

“Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenal pasti tanda-tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri,” katanya.

Jelasnya, ia termasuk cerun-cerun yang berkategori risiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenalpasti akan diberi perhatian serta kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan.

“Sebanyak 35 bilangan stesen tolok hujan di cerun kritikal sepanjang JalanPersekutuan Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor telah diselenggara dan berfungsi dalam keadaan baik. Had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Cerun JKR.

“Amaran melalui sistem pesanan ringkas akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai ambang sebagai amaran awal tanah runtuh. Manakala untuk Sabah dan Sarawak, sebanyak 12 stesen tolok hujan sedang dalam permohonan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Penyelenggaraan rutin turut dilakukan mengikut jadual dan kitaran yang ditetapkan seperti pembersihan laluan air, tumbuh-tumbuhan, puing dalam pembetung, pemeriksaan pengesahan aset jambatan dan pembetung yang mengalami kerosakan, kegagalan, penyediaan cadangan pembaikan alternatif dan seterusnya melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera.

JKR juga akan mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) bagi jalan raya yang terjejas akibat bencana dengan melaksanakan penutupan jalan secepat mungkin bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, memberi amaran bencana kepada orang ramai, menyediakan laluan alternatif, membina lencongan jalan dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan atau pembinaan kekal pasca bencana.

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana JKR, akaun media sosial atau menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 03-26107559/7727.

BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan raya dibawah seliaan JKR iaitu jalan Persekutuan dan jalan negeri di seluruh Malaysia.

Para pengguna juga boleh menyalurkan sebarang kerosakan jalan raya yang terjejas akibat monsun melalui aplikasi aduan MyJalan.

Pengguna hanya perlu menghantar foto dan lokasi aduan, memilih jenis aduan, mengisi maklumat aduan dan seterusnya menghantar aduan tersebut secara dalam talian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya