Jerebu : Tiada permit pembakaran terbuka dikeluarkan

Jerebu : Tiada permit pembakaran terbuka dikeluarkan buat sementara waktu di Sarawak

DR HAZLAND ABANG HIPNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak tidak akan mengeluarkan sebarang permit pembakaran terbuka buat ketika ini, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata, usaha itu bagi memastikan tiada pembakaran terbuka berlaku yang menyumbang kepada kejadian jerebu di Sarawak.

“Notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek juga akan dikuatkuasakan, susulan bacaan indeks pencemar udara (IPU) di Sri Aman, Kuching dan Serian adalah pada tahap tidak sihat disebabkan oleh pembakaran terbuka yang berlaku di negara jiran.

“Berdasarkan kepada ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, sejumlah 1,059 titik panas telah dikesan di wilayah berdekatan pada empat hari berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, bacaan IPU direkodkan di Sri Aman adalah pada tahap tidak sihat, iaitu di dalam lingkungan 100-155. Manakala, bacaan IPU di Kuching dan Serian mula mencatatkan bacaan tidak sihat mulai 4 September.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Orang ramai disarankan terus mengambil beberapa langkah ketika menghadapi tempoh cuaca panas dan kering termasuk minum air dengan secukupnya dan mengurangkan aktiviti luar serta memakai topeng muka bagi mereka yang melakukan aktiviti luar terutamanya golongan berisiko tinggi,” jelas beliau.

Antara langkah lain yang akan dipantau oleh NREB Sarawak ialah mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) jerebu termasuk mengadakan rondaan lapangan secara aktif dan pemeriksaan titik panas bersama-sama agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar Sarawak; dan Meneruskan pelaksanaan program kesedaran larangan pembakaran terbuka bersama agensi-agensi lain juga diteruskan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN